KKM keluarkan lebih RM24 juta kompaun merokok

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan sebanyak 99,596 notis kompaun bernilai RM24.88 juta bagi kesalahan merokok di kawasan larangan dalam tempoh 16 bulan dari Januari 2022 hingga April lalu di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, notis kompaun itu dikeluarkan bagi kesalahan merokok di kesemua 23 tempat dilarang merokok bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

"Daripada jumlah itu, sejumlah 45,520 notis kesalahan merokok dengan nilai kompaun berjumlah RM 11.3 juta telah dikeluarkan kepada individu yang didapati merokok di tempat makan.

"Ia membabitkan 30,648 notis kesalahan merokok dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d) PPKHT dengan nilai kompaun berjumlah RM 7.6 juta pada 2022 dan sejumlah 14,872 notis kompaun bernilai RM3.7 juta dikeluarkan sehingga April 2023," katanya kepada Sinar Harian.

Dr Norhayati menjelaskan, tindakan yang diambil itu hasil komitmen KKM dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok termasuk di tempat makan.

"Aktiviti penguatkuasaan ini dijalankan melalui kaedah operasi rutin dan operasi bertema yang dijalankan sepanjang tahun.

"Selain itu, operasi bersepadu yang melibatkan semua penguatkuasa KKM dari seluruh negeri di Malaysia dengan kerjasama agensi-agensi penguat kuasa yang lain seperti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut dijalankan," ujarnya.

Dr Norhayati menambah, KKM juga telah mewujudkan talian aduan merokok melalui aplikasi Whatapps di talian 010-8608949 bagi membolehkan orang ramai melaporkan aktiviti merokok di kawasan yang diwartakan sebagai tempat larangan merokok.

Ujarnya, aduan yang disampaikan kemudiannya akan dianalisis dan dihantar kepada Jabatan Kesihatan Negeri terlibat untuk tindakan penguatkuasaan seterusnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, selain komited dalam menguatkuasakan larangan merokok, KKM juga komited dalam membantu golongan perokok untuk berhenti merokok.

Menurutnya, KKM menawarkan perkhidmatan berhenti merokok di semua klinik kesihatan dan pada masa yang sama KKM juga bekerjasama dengan fasiliti swasta dalam memperkukuhkan perkhidmatan berhenti merokok melalui laman sesawang jomquit.com

"Pada masa yang sama pendidikan berterusan juga akan dipertingkatkan bagi memastikan perubahan tingkah laku dapat dilihat di dalam masyarakat," tambah beliau.

Mengulas lanjut, Dr Norhayati memberitahu, operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan KKM juga bagi memastikan peraturan tempat dilarang merokok sentiasa dipatuhi oleh orang ramai untuk melindungi hak dan kesihatan orang yang tidak merokok daripada ancaman terdedah kepada bahaya asap rokok.

Tegas beliau, aktiviti penguatkuasaan juga bukanlah bersifat punitif atau menghukum semata-mata sebaliknya adalah untuk mendidik masyarakat ke arah gaya hidup yang sihat tanpa amalan merokok.

"Selain itu, aktiviti penguatkuasaan ini juga adalah usaha denormalisasi tabiat merokok dalam kalangan generasi muda apabila mereka tidak lagi melihat aktiviti merokok di tempat-tempat awam," ulasnya.

Sementara itu, Dr Norhayati memberitahu, sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang disambut pada tarikh 31 Mei setiap tahun menjadi satu usaha advokasi bagi meningkatkan kesedaran semua tentang bahaya penggunaan produk hasil tembakau.

"Tema sambutan pada tahun ini adalah 'Utamakan Makanan, Bukan Rokok'. Tema ini adalah bagi mengingatkan masyarakat untuk mengutamakan keperluan asas lain yang lebih penting untuk kehidupan berbanding produk tembakau dan produk merokok lain seperti rokok elektronik atau vape.

"KKM juga ingin menasihati masyarakat yang tidak merokok, supaya kekal tidak merokok dan juga jangan cuba untuk merokok. Bagi mereka yang telah merokok, nasihat kami berhentilah merokok dengan mendapatkan rawatan perkhidmatan berhenti merokok mQuit dan layari laman sesawang jomquit.com.my," katanya.

ENDS