Peranan Menteri Kewangan penting tangani isu ringgit susut

Mohd Syahir
Mohd Syahir
A
A
A

SHAH ALAM - Peranan dan penumpuan Menteri Kewangan dalam menangani isu penyusutan ringgit pada ketika ini amat penting khususnya bagi mengimbangi langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mengawal dasar monetari.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, setakat ini masih belum kelihatan strategi daripada kerajaan yang benar-benar ampuh untuk Malaysia bertahan.

"Inilah sebahagian daripada kegusaran kami ketika pembentukan kabinet, apabila Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan.

"Di pihak kerajaan, kita masih menunggu formula dan strategi yang akan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi.

"Malah Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan dilihat sukar memberikan fokus di Kementerian Kewangan (MOF) dengan bebanan tugas yg berat sebagai Perdana Menteri di luar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar Mohd Syahir, di pihak BNM dasar monetari telah diambil bagi mengimbangi risiko dalaman dan luaran, termasuklah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini.

Menurutnya, penjelasan awam perlu ditingkatkan, supaya rakyat faham situasi getir yang negara sedang hadapi kini.

Ulas beliau, apabila ringgit jatuh, maka kos import menjadi mahal, kos bahan dan harga barangan juga meningkat.

"Dalam tempoh enam bulan ini, ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang lain sehingga mencecah paras RM4.60/dolar AS, dan dijangka boleh mencecah paras RM5/dolar AS jika tidak dikawal.

"Secara umumnya, penyusutan ringgit kali ini disebabkan faktor ekonomi dan kemelut hutang di Amerika Syarikat serta ketidaktentuan ekonomi global sehingga menjejaskan permintaan terhadap semua mata wang, termasuklah ringgit.

"Cuma lemahnya ringgit kali ini, bukan sekadar jatuh berbanding dolar AS, tetapi juga lemah berbanding dolar Singapura, baht Thailand dan rupiah Indonesia," ujarnya.