'Billboard' haram, tuan tanah tidak terkecuali kena tindakan

Aminuddin Harun.
Aminuddin Harun.
A
A
A

SEREMBAN - Tuan tanah yang didapati membenarkan syarikat tertentu memasang papan iklan (billboard) di sepanjang lebuh raya di negeri ini tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan tidak terkecuali dikenakan tindakan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau perlu bertegas dalam soal itu kerana ia masih berpanjangan dan boleh memberi risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

"Saya nak ingatkan tuan tanah yang akhirnya mereka akan terkesan apabila membenarkan. Mereka boleh nafikan, tapi kedudukan papan tanda itu atas tanah mereka.

"Selepas ini saya akan ambil tindakan pada tuan tanah dan jika tuan tanah ada masalah dengan tanah mereka selepas ini, jangan salahkan saya.

"Walaupun kasar nampaknya, tapi saya terpaksa demi keselamatan. Saya juga berharap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melihat perkara ini," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Ujarnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) sememangnya sentiasa melakukan pemantauan, namun malangnya ia seolah-olah seperti dilihat tiada pengawasan.

Ini kerana katanya, pemasangan papan tanda itu mampu disiapkan dalam tempoh beberapa hari saja.

"Nak buat boleh, tiada masalah, tapi ikut prosedur buat permohonan dan ikut syarat ditetapkan dari segi aspek pembinaan dan terletaknya ia supaya tak berlaku sesuatu tidak diingini.

"Kita bimbang kerana kawasan Negeri Sembilan ini selalu angin kuat. Jangan suatu masa nanti ada papan tanda yang terbang ke tengah lebuh raya," katanya.

Tegasnya, pihaknya tidak mahu dipersalahkan sekiranya kejadian itu berlaku dengan mengatakan yang kerajaan negeri tidak mengendahkan tentang isu papan tanda haram, sedangkan amaran keras telah diberi sebelum ini.