Pencemaran ammonia, pelaku berdepan tindakan tegas

Ketua Menteri Adly Zahari merasmikan Jualan Peduli Rakyat anjuran Angkatan Wanita Amanah (AWAN) di Merlimau, di sini hari ini.
Ketua Menteri Adly Zahari merasmikan Jualan Peduli Rakyat anjuran Angkatan Wanita Amanah (AWAN) di Merlimau, di sini hari ini.
A
A
A

JASIN - Kerajaan negeri mahu tindakan tegas diambil kepada pihak yang dipercayai bertanggungjawab terjadinya pencemaran ammonia di Sungai Batang Melaka, di Alor Gajah.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia susulan kesulitan yang terpaksa ditanggung kira-kira 20,000 pengguna air di sekitar kawasan berkenaan berikutan keadaan air yang tercemar bahan kimia itu.

"Natijahnya, kualiti air mentah di sungai berkenaan merosot dan menyulitkan aktiviti harian penduduk di situ.

"Memang kita akan ambil tindakan kepada mereka yang tidak ikut peraturan. Kita tidak bertolak ansur dalam soal pencemaran air kerana ia bukan saja digunakan oleh manusia tetapi juga haiwan," katanya.

Ketua Menteri berkata pada sidang akhbar selepas merasmikan Jualan Peduli Rakyat anjuran Angkatan Wanita Amanah (AWAN) di Merlimau, di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 20,000 pengguna air di sekitar daerah ini mengalami masalah gangguan bekalan air akibat pencemaran ammonia yang berlaku di loji rawatan air milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di Gadek, Alor Gajah sejak minggu lalu.

Pencemaran itu dikatakan berpunca daripada tindakan pemilik kolam ternakan ikan keli di Hutan Percha yang melepaskan sisa buangan secara tidak berjadual ke Sungai Batang Melaka.

Mengulas lanjut, Adly berkata sejak tahun lalu kerajaan negeri sudah mengeluarkan arahan kepada agensi berkaitan untuk memantau semua syarikat industri ternakan, termasuk ternakan ikan air tawar bagi mengelakkan berlaku pencemaran air.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kolam ternakan air tawar yang menternak ikan keli diberi perhatian khusus ekoran menyedari risiko pencemaran daripada sisa buangan hidupan berkenaan lebih tinggi berbanding ikan air tawar jenis lain.

"Kerajaan negeri memberi jaminan kepada semua pemilik akaun SAMB untuk menyelesaikan isu pencemaran itu dalam kadar segera dan loji rawatan air di Gadek juga sudah beroperasi seperti biasa hari ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sungai tercemar: 18,076 penduduk Alor Gajah terjejas bekalan air