X

Kindly register in order to view this article
!

Sungai tercemar: 18,076 penduduk Alor Gajah terjejas bekalan air

Sungai Batang Melaka yang tercemar dipercayai akibat pencemaran ammonia.
A
A

MELAKA TENGAH - Kira-kira 18,076 pengguna di daerah Alor Gajah terjejas apabila loji rawatan air Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Gadek berlokasi di DUN Machap Jaya dicemari ammonia sejak minggu lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, hasil siasatan awal mendapati air Sungai Batang Melaka tercemar teruk dipercayai akibat pelepasan air dari kolam ternakan ikan keli di Hutan Percha yang tidak bersistematik.

Menurutnya, Badan Kawal Selia Air (BKSA) telah menerima aduan pencemaran di loji berkenaan pada Ahad lalu dan telah menjalankan siasatan sebelum mengarahkan pemilik kolam berkenaan menghentikan operasi pembuangan sisa ternakan tersebut ke Sungai Batang Melaka.

Katanya, kerajaan negeri memandang serius isu ini memandangkan air yang tercemar merupakan sumber air mentah bagi kegunaan sebahagian rakyat di Melaka dan aspek keselamatan seperti ini tidak boleh dikompromi.

Kerja-kerja pembersihan dan merawat air yang sedang dijalankan kakitangan SAMB.
Kerja-kerja pembersihan dan merawat air yang sedang dijalankan kakitangan SAMB.

"Difahamkan BKSA telah mengeluarkan satu notis pemberhentian serta-merta operasi ternakan ikan keli kepada dua pemiliknya yang disyaki melepaskan sisa air ternakan ke sungai itu semalam.

"Satu laporan polis juga telah dibuat oleh wakil BKSA di Balai Polis Hutan Percha untuk kita mengambil tindakan selanjutnya kepada mereka yang terlibat melakukan pencemaran hingga menyebabkan ramai pengguna yang terjejas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Sofi yang juga ADUN Durian Tunggal berkata, SAMB dan BKSA telah mengambil tindakan segera dan mendapati bacaan ammonia mencapai tahap melebihi 3.5mg/l iaitu melebihi parameter yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan boleh merosakkan kandungan air mentah secara keseluruhan.

Menurutnya, kegagalan pihak berkenaan mematuhi arahan notis itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 (tiga) tahun manakala bagi kesalahan yang kedua atau selanjutnya boleh didenda tidak melebihi RM 200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sungai Batang Melaka dicemari hingga Kira-kira 18,076 akaun pengguna terjejas.
Sungai Batang Melaka dicemari hingga Kira-kira 18,076 akaun pengguna terjejas.

"Bagaimanapun saya dimaklumkan Loji Rawatan Air Gadek telah pulih sejak semalam dan isu gangguan bekalan air di beberapa kawasan yang terjejas akan pulih secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya hari ini," katanya.

Antara kawasan yang terjejas adalah di Simpang Ampat melibatkan 2,390 akaun pengguna, Taman Kebaya-Jalan Kolam Air (963); Industri Kelemak dan Saujana Height (239); Pulau Sebang (6,377); Solok Duku dan Taman Tanjung Bidara (4,069) dan Paya Rumput - Kuala Linggi (4,065).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus