Wan Saiful mohon kes rasuah RM6.9 juta diketepikan

Wan Saiful (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu dengan memakai kot untuk prosiding sebutan semula kes rasuahnya berkaitan Jana Wibawa.
Wan Saiful (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu dengan memakai kot untuk prosiding sebutan semula kes rasuahnya berkaitan Jana Wibawa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, suatu perintah untuk mengetepikan dua pertuduhan rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa yang dihadapinya.

Peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata demikian ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Rozina Ayob.

“Notis itu disokong dengan afidavit, yang mana kedua-duanya sudah diserahkan kepada pendakwaan.

“Dokumen itu difailkan mengikut Seksyen 173(g) Kanun Acara Jenayah berkenaan telah diserahkan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali mengesahkan salinan notis itu telah diterima pada Selasa.

Beliau memohon kepada mahkamah supaya menetapkan tarikh antara tujuh hingga 10 hari untuk memfailkan affidavit jawapan.

“Kebiasaannya kami memerlukan masa selama 14 hari, iaitu paling awal dalam masa tujuh hari dan selewat-lewatnya 9 Jun depan,” katanya.

Hakim kemudiannya memerintahkan pasukan pendakwaan menjawab afidavit sokongan itu pada atau sebelum 9 Jun manakala pihak pembelaan memfailkan afidavit balasan sekiranya ada, empat hari kemudian.

Susulan itu beliau berkata, prosiding pendengaran bagi permohonan berkenaan dibuat pada 27 Jun.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor ini didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai dan 30 September 2022.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Amer berkata, dua isu telah dibangkitkan semasa prosiding berkenaan iaitu pertama, pihak pendakwaan memberitahu dokumen kes telah diserahkan kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata, isu kedua pula ialah pembelaan telah memfailkan permohonan bantahan awal terhadap pertuduhan terhadap Wan Saiful.

“Sudah berbulan-bulan anak guam saya didakwa dan kami berasa hairan kerana pihak pendakwaan memerlukan lebih banyak masa untuk memberikan dokumen lengkap dokumen.

“Sekiranya penyiasatan yang betul dan teliti telah dijalankan, pihak pendakwaan dan agensi penguatkuasaan yang berkaitan sepatutnya sudah menyediakan semua dokumen,” katanya.

Beliau berkata, pendakwaan sepatutnya dapat menyampaikan semua dokumen dengan segera, jadi mereka berpendapat bahawa pendakwaan dilakukan tidak berdasarkan penyiasatan yang lengkap.

Menyentuh isu kedua beliau berkata, beberapa minggu lalu mereka telah memberi notis kepada pihak pendakwaan bahawa pertuduhan itu adalah cacat kerana tidak memenuhi keperluan di bawah undang-undang.

“Kegagalan untuk memberikan butiran yang diperlukan telah menimbulkan keraguan terhadap pertuduhan dan menjejaskan haknya untuk perbicaraan yang adil, jadi kami berharap keadilan dapat dicapai melalui permohonan ini,” katanya.