Pastikan setiap projek dilaksana segera, beri kesan kepada komuniti setempat - PM

BENTONG - Keutamaan Kerajaan Madani pada tahun ini adalah untuk memastikan setiap projek dilaksanakan segera, berintegriti dan benar-benar memberi kesan kepada komuniti setempat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan meluluskan 563 projek berkepentingan rakyat bernilai RM32 bilion di Pahang, termasuk 34 projek bernilai RM1.66 bilion khusus untuk daerah Bentong, namun angka itu tidak bermakna jika pelaksanaannya gagal menyentuh realiti hidup rakyat.
"Sebarang projek yang tertangguh akibat kelemahan pengurusan atau permasalahan kontraktor tidak boleh dibiarkan berlarutan hingga bertahun-tahun, kerana setiap kelewatan bererti rakyat terus dinafikan kemudahan dan perkhidmatan yang sepatutnya mereka nikmati,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.
Dalam hantaran yang dibuat sempena tinjauannya di Bentong hari ini, Anwar berkata, beliau telah mengarahkan bantuan diberikan kepada 106 keluarga miskin tegar di daerah itu.
"Saya mengarahkan agar bantuan disegerakan dan keluarga ini mesti dikeluarkan daripada kepompong miskin tegar dalam tempoh satu bulan,” katanya.
Anwar berkata, dalam masa yang sama, semua peringkat berkaitan wajib memantau kemajuan semua projek secara dekat.
Ini berikutan pelaksanaan beberapa inisiatif, misalnya usaha penambahbaikan bilik darjah dan meningkatkan keselesaan bilik guru menjelang Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, serta kemasukan prasekolah pada usia lima tahun dan Tahun 1 pada usia enam tahun secara sukarela.
"Kegagalan pada peringkat pelaksanaan, termasuk projek bermasalah atau lewat disiapkan akan menjejaskan keselesaan pembelajaran dan masa depan anak-anak,” katanya.
Anwar berkata, soal integriti juga tidak boleh dikompromi dan setiap wang yang disalurkan adalah amanah yang mesti sampai kepada rakyat, bukan mengalir ke poket mana-mana pihak.
"Kelonggaran kelulusan projek bukan ruang untuk disalah guna, tetapi ikhtiar mempercepat pelaksanaan agar manfaatnya segera dirasai oleh rakyat,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Keutamaan Kerajaan Madani adalah memastikan projek dilaksanakan dengan cepat dan berintegriti
- Kerajaan meluluskan 563 projek di Pahang bernilai RM32 bilion termasuk 34 projek di Bentong
- Anwar Ibrahim mengarahkan bantuan segera kepada 106 keluarga miskin tegar di Bentong
- Semua peringkat berkaitan diminta memantau kemajuan projek secara dekat
- Integriti dalam pelaksanaan projek dipandang serius untuk memastikan manfaat sampai kepada rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
