Jangan manipulasi isu boleh pecahkan perpaduan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan kepada ahli dan pemimpin politik agar tidak memanipulasi isu yang boleh memecah-belahkan perpaduan kaum dan agama negara ini.

Tegasnya, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diarahkan untuk memantau hantaran dan tulisan yang menjurus ke arah naratif perkauman dan agama.

"Kita harus bersama dalam pembangunan bangsa, menghormati agama dan kaum walaupun berbeza politik," katanya menerusi sidang akhbar selepas sesi libat urus Program Tabika Pra Tahfiz di Kementerian Desa dan Wilayah (KKDW) dekat sini pada Rabu.

Menurutnya, dapatan kajian Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) memperlihatkan isu agama dan kaum yang dibangkitkan demi kepentingan politik.

"Malah ada fatwa yang dikeluarkan oleh pemimpin parti politik mengkafirkan atau mengharamkan perbuatan ahli parti lain masih tidak ditarik balik," ujar beliau.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan Malaysia Madani yang dianggotai oleh 19 parti politik tekad dan berikrar untuk memperkukuhkan keharmonian bagi mencapai perpaduan negara menerusi Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei lalu.

"Kita boleh berbeza pendapat, tapi kita raikan dengan akhlak yang baik," tambahnya.

CIJ dengan kerjasama Universiti Nottingham Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendedahkan hantaran berkisar naratif kaum dan agama yang menyinggung perasaan serta diskriminasi dicetuskan ahli politik, menguasai platform media sosial utama di negara ini ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Pada perkembangan lain, Ahmad Zahid menegaskan tiada sebarang perbincangan, keputusan atau lantikan individu tertentu untuk menjemput parti yang dikatakan mendapat tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan.

"Bukan kita tidak mahu penyatuan, tetapi tidak mahu perkahwinan politik secara mutaah ini berulang yang mana pengantin bermutaah dengan banyak parti lain sebelum bercerai selepas itu.

"Ini kerana mereka mereka tidak ikhlas dan tidak jujur dalam perkahwinan dan perkongsian politik," katanya.