SPAN tubuh JKTK teliti isu gangguan air di Kedah, P Pinang

SPAN menubuhkan JKTK untuk dapatkan maklumat, keterangan dan meneliti semua aspek berhubung gangguan air di Kedah dan Pulau Pinang.
SPAN menubuhkan JKTK untuk dapatkan maklumat, keterangan dan meneliti semua aspek berhubung gangguan air di Kedah dan Pulau Pinang.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Khas (JKTK) pada Isnin susulan penurunan paras air Sungai Muda 14 Mei lalu telah menjejaskan pengoperasian beberapa buah loji rawatan air (LRA) di Kedah dan Pulau Pinang.

“SPAN menerima saranan daripada pemegang-pemegang taruh yang terlibat untuk meneliti secara menyeluruh insiden ini.

“Tujuan penubuhan JKTK ini adalah untuk mendapatkan maklumat, keterangan dan meneliti semua aspek berhubung kejadian ini,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 14 Mei lalu, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) menganggarkan sebanyak 251,800 akaun di tiga daerah di Kedah terjejas membabitkan Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling bermula Ahad.

Gangguan bekalan air tidak berjadual itu bermula pada jam 7.25 pagi disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu baraj Sungai Muda.

Kejadian luar jangka itu mengakibatkan pengoperasian LRA Pinang Tunggal, Sungai Petani dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.

Dalam pada itu, SPAN menjelaskan, penubuhan jawatankuasa itu dapat mengesyorkan langkah penambahbaikan yang boleh dijadikan sebagai tata amalan terbaik oleh semua pihak berkepentingan demi menjamin kelestarian bekalan air.

“Laporan akhir dijangka akan dimuktamadkan pada pertengahan bulan Jun 2023,” katanya.