Lelaki maut terkena renjatan elektrik

Pasukan perubatan melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Ihsan JBPM Perak
Pasukan perubatan melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Ihsan JBPM Perak
A
A
A

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki tanpa identiti ditemukan maut akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah kilang pasir di Kampung Coldstream, Bidor di sini pada Isnin.

Difahamkan kilang terbabit telah lama tidak beroperasi dan mangsa dipercayai orang awam yang memasuki premis berkenaan tanpa kebenaran.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor menerima panggilan pada jam 11.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian bomba mendapati mangsa yang berusia sekitar 40-an terbaring tidak sedarkan diri.

"Ketua operasi yang menjalankan pemeriksaan mendapati terdapat arus elektrik di kawasan mangsa dan segera menghubungi bantuan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Menurutnya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sekitar jam 1.35 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa berusia 27 tahun itu disyaki cuba memotong dawai tembaga dalam kejadian terbabit. Isnin.

Menurutnya, mangsa dijumpai di bilik kuasa elektrik dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri oleh orang awam sekitar jam 11 pagi.

"Mangsa dipercayai cuba memotong tembaga yang berada dalam bilik kuasa sebelum terkena renjatan elektrik.

"Mangsa yang memakai baju hijau dan berseluar jeans biru ditemui dengan kesan terbakar di bahagian perut," katanya dalam satu kenyataan

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tapah untuk dibedah siasat.

"Semakan mendapati mangsa mempunyai lapan rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah termasuk narkotik.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti tujuan sebenar mangsa pergi ke tempat kejadian," katanya.

Tambah beliau, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut.