LCS: Kerajaan mesti telus beri penjelasan

Dr Muhammad Mohan
Dr Muhammad Mohan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mesti telus dalam memberikan penjelasan terhadap sebarang salah laku membabitkan projek kapal tempur pesisir (LCS) dan menyahklasifikasi laporan penyiasatan Perolehan dan Kewangan yang dilakukan di bawah Ketua Juruaudit Negara ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, jika unsur rasuah dan salah guna kuasa dikesan, ia harus didedahkan dan bukannya berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi atau menyebut perkara keselamatan negara.

“TI-M memahami rasional di sebalik keputusan Perdana Menteri kerana RM6.083 bilion wang pembayar cukai telah dibayar. Bagaimanapun, BNS mempunyai rekod yang tidak baik dalam penghantaran kerana kapal pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi tidak ada satu kapal pun dihantar.

"Projek itu telah meningkat daripada RM9 bilion kepada RM11.2 bilion dan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) hanya akan mendapat lima LCS berbanding enam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan LCS iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Jelasnya, ia bagi membolehkan projek berkenaan dapat diselesaikan berikutan kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek berkenaan.

Tambah Muhammad, Anwar sendiri telah menyatakan komitmennya untuk memerangi rasuah dan menambah baik amalan tadbir urus dan integriti dalam sektor awam.

"Walaupun ia penting dalam memastikan projek LCS tidak terbengkalai, adalah penting bagi mereka yang bertanggungjawab terhadap projek bermasalah itu bertanggungjawab atas tindakan mereka," katanya.