TH berjaya kekalkan sebahagian kos operasi haji

Syed Saleh (tiga dari kiri) menerima penghargaan daripada Adnan Hussain (dua dari kanan) sebagai simbolik kerjasama antara dua pihak itu.
Syed Saleh (tiga dari kiri) menerima penghargaan daripada Adnan Hussain (dua dari kanan) sebagai simbolik kerjasama antara dua pihak itu.
A
A
A

MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya mengekalkan kos sebahagian operasi haji di Tanah Suci dengan termeterainya kontrak selama tiga tahun dengan Masyariq, iaitu syarikat muassasah Arab Saudi yang mengendalikan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ini adalah kali pertama TH mengikat kontrak lebih lama kerana kebiasaannya ia dibuat secara tahunan.

“Dalam usaha TH untuk menangani kenaikan kos setiap tahun yang kita hadapi pada operasi Masyair, inilah satu usaha kita, iaitu ikat satu kontrak pada jangka masa lebih panjang untuk dapat mengawal dari segi kenaikan kos.

“Maksudnya dari tahun pertama, tahun kedua dan tahun ketiga, harganya sama untuk ketiga-tiga tahun tersebut bagi perkhidmatan asas yang telah ditetapkan dalam perjanjian,” katanya kepada media Malaysia di Makkah pada Sabtu malam.

Syed Saleh dan petugas rombongan haji Malaysia sebelum itu diraikan dalam satu majlis oleh syarikat Masyariq di ibu pejabatnya di sini.

Kata Syed Saleh, perjanjian dengan syarikat Masyariq meliputi khidmat dari segi sambutan jemaah haji ke Makkah, dan juga penghantaran berlepas balik dari Makkah sama ada ke Madinah atau ke Malaysia.

Syed Saleh berucap pada sesi Taaruf bersama Muassasah di Makkah pada sabtu malam.
Syed Saleh berucap pada sesi Taaruf bersama Muassasah di Makkah pada sabtu malam.

Kata beliau, keduanya ialah pemantauan ke atas kebajikan jemaah haji sepanjang berada di Makkah.

“Ketiganya, elemen paling penting dalam ketiga-tiga ini ialah perkhidmatan dan kemudahan semasa Masyair, iaitu semasa di Arafah dari segi khemah, hawa dingin, pengangkutan, pergerakan jemaah haji dari Makkah, Arafah, Mudzalifah, Mina dan balik semula ke Makkah.

“Perkhidmatan juga dari segi membawa jemaah haji, pandu arah jemaah haji semasa umrah pertama, dan juga semasa mereka berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina, semasa melontar ini semua akan dikawal selia dan diberi perkhidmatan pandu arah oleh pihak Masyariq,” katanya.

Tambah beliau lagi, turut disediakan khidmat makan minum daripada sarapan, makan tengah hari hingga makan malam sepanjang Masyair.

“Pengangkutan untuk bawa jemaah melalui Masyair juga ditempah dan diuruskan dan disediakan oleh pihak Masyariq,” katanya.

Kata beliau lagi, perjanjian tersebut tidak melibatkan kos-kos lain seperti hotel, penerbangan, sajian makanan di Makkah dan Madinah, dan juga bayaran wajib kepada Kerajaan Arab Saudi.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Masyariq, Adnan Hussain Mandourah berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan TH.

Katanya, dengan termeterai kerjasama yang panjang itu, ia menetapkan satu standard yang lebih tinggi bagi pihaknya untuk memberikan servis yang melebihi jangkaan jemaah haji Malaysia.

“Kita tekankan kualiti dan perkhidmatan yang cemerlang dan semuanya bukan kerana mahu menang anugerah tetapi kerana ALLAH supaya jemaah haji Malaysia terjaga kebajikan mereka,” katanya.