Ada cubaan teruskan pesta tidak bermoral di JB - AMK Johor

AMK Johor buat dua laporan polis di IPD Johor Bahru Selatan, Larkin di sini pada Sabtu.
AMK Johor buat dua laporan polis di IPD Johor Bahru Selatan, Larkin di sini pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis diminta menyiasat dan menghalang penganjuran pesta seks 'Gang Bang JB Party' kerana didakwa akan tetap diadakan pada masa dan tarikh baharu di satu lokasi rahsia.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail berkata, ini kerana melalui siasatan pihaknya penganjur pesta seks tersebut ada menyatakan akan tetap meneruskan aktiviti tidak bermoral itu walaupun mendapat kecaman serta bantahan pelbagai pihak.

"Posting berkenaan poster pesta seks 'Gang Bang JB Party' yang tular sebelum ini sudah dipadamkan daripada akaun Twitter pihak berkenaan, namun memaklumkan akan tetap menganjurkannya pada masa, tarikh dan tempat yang masih dirahsiakan.

"AMK Johor mengharapkan pihak polis ambil tindakan drastik, cari penganjur tersebut, bukan sahaja penganjur tersebut tetapi juga penganjur lain (yang turut menganjurkan aktiviti sama), kita harap ini dapat dicegah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat dua laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Larkin di sini pada Sabtu berkenaan pesta seks tersebut dan penggunaan kalimah ALLAH.

Pada Rabu, Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengambil tindakan terhadap penganjuran pesta seks 'Gang Bang JB Party' yang tular dan dijadualkan berlangsung bulan depan.

Mohd Fared membuat kenyataan itu susulan penyebaran kad jemputan penganjuran acara diberi nama 'Gang Bang JB Party' yang dijadualkan berlangsung antara jam 4 petang hingga 9 malam, 20 Jun depan.

Mengulas lanjut, Mohamad Taufiq berkata, penganjuran pesta seks tersebut perlu dihentikan kerana akan mencemar imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam selain memberi kesan yang tidak baik kepada generasi muda.