Mencari umrah, haji mabrur

Jemaah menunaikan umrah pertama mereka pada Jumaat malam.
Jemaah menunaikan umrah pertama mereka pada Jumaat malam.
A
A
A

MAKKAH - Sebelum bakal-bakal haji berangkat ke Tanah Suci, mereka telah diberi penerangan lanjut mengenai tatacara ibadah supaya dapat memperolehi umrah dan haji yang mabrur.

Penerangan itu diberikan melalui kursus komprehensif yang disediakan pihak Lembaga Tabung Haji (TH) meliputi Kusus Asas hinggalah kepada Kursus Haji Perdana.

Setelah tiba di Makkah, jemaah sentiasa diingatkan mengenai tujuan asal mereka sebagai dhuyufurrahman supaya ibadah itu mendapat keredaan ALLAH.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, pada Jumaat jemaah KT1 dijadualkan melakukan umrah pertama setelah tiba di Makkah.

Kata Tengku Aziz, umrah kali ini adalah sangat penting kerana ia adalah umrah wajib bagi setiap jemaah yang pertama kali melaksanakan ibadah haji dan umrah.

Tengku Aziz bercakap pada sidang media di Abraz Al Janadriyah Makkah.
Tengku Aziz bercakap pada sidang media di Abraz Al Janadriyah Makkah.

“Ini adalah tuntutan asas bagi mereka dan oleh itu, kita harap setiap perbuatan umrah mereka sama ada dari segi rukun atau pun wajib, mereka mesti kena buat dengan penuh kesempurnaan, penuh keyakinan yang dibuat itu tidak ada cacat cela dari segi hukum.

“Ini kerana ibadat haji atau umrah yang kita buat mestilah bersesuaian dengan apa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW iaitu bagaimana untuk dapat haji dan umrah yang sempurna, “ katanya kepada media Malaysia di Ibu Pejabat TH di Abraz Al Janadriyah di sini.

Sebagai pembimbing, pihaknya juga akan sentiasa membantu jemaah haji semasa melaksanakan ibadah dan proses analisis selepas ia selesai dilaksanakan.

“Pertama sekali kita kena ingat apa yang kita buat itu, ada di sebalik falsafahnya sama ada dari segi tawaf, saie, wukuf di Arafah, bermalam di Mudzalifah, begitu juga melontar, pakai ihram, semua itu mengajar manusia tentang ketaatan.

“Begitu juga sebelum mereka niat umrah atau haji, perkara pertama dia mesti buat, dia kena pakai ihram. Kemudian mesti jaga larangan dalam ihram yang ALLAH SWT nak ajar kita bagaimana ketaatan kita kepada perintah ALLAH.

“Sebab kadang-kadang ada orang persoal juga kenapa dalam ihram tak boleh gugur rambut. Kalau gugur rambut diganti dengan dam (denda) sedangkan gugur rambut itu pun takdir ALLAH SWT. Sebenarnya ALLAH nak ajar bagaimana kita taat kepada perintah ALLAH SWT dengan tanpa soal,” katanya.

Ulas beliau lagi, kemabruran haji adalah milik ALLAH tetapi sebagai hamba-NYA apa yang perlu dilakukan ialah persiapan dari segi kafiat (cara kerja) dan setelah itu berdoa kepada ALLAH SWT supaya amalan tersebut diterima.

Akhir sekali kata Tengku Aziz, mengikut Ibnu Hajar, tanda seseorang yang memperoleh haji mabrur ialah dapat dilihat melalui tiga tanda.

Katanya, jemaah itu meninggalkan perkara maksiat atau jadi lebih baik lagi daripada sebelumnya. Kalau sudah baik maka akan jadi lebih baik sama ada dari segi ibadat, muamalat, pergaulannya dan lain-lain.

“Yang kedua meninggalkan sahabat yang tidak baik dan dekatkan diri dengan ALLAH dan ketiganya beralih kepada menghadiri majlis-majlis yang mengingati ALLAH SWT seperti majlis-majlis ilmu, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya,” katanya.