Orang tempatan jadi 'tali barut'

Serbuan dilakukan KPDN bersama PDRM ke atas sebuah stor haram yang menyimpan minyak diesel bersubsidi sebelum dijual kepada pihak tidak bertanggungjawab. Gambar kecil: Azman
Serbuan dilakukan KPDN bersama PDRM ke atas sebuah stor haram yang menyimpan minyak diesel bersubsidi sebelum dijual kepada pihak tidak bertanggungjawab. Gambar kecil: Azman
A
A
A

TERDAPAT penglibatan penduduk tempatan yang bersekongkol dengan sindiket bagi mendapatkan bekalan minyak diesel dan petrol bersubsidi sebelum bahan api itu diseludup ke negara jiran.

Taktik baharu itu antara dikesan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi risikan dijalankan serta maklumat yang diperoleh sebelum ini.

Berdasarkan modus operandi itu, penduduk tempatan telah diupah dengan sejumlah bayaran oleh sindiket dari negara jiran supaya mengumpulkan petrol dan diesel yang diperoleh dari stesen-stesen minyak tertentu ke stor-stor haram.

Selain itu, KPDN turut mengesan taktik yang biasa digunakan sindiket iaitu menggunakan kenderaan seperti lori atau pacuan dengan tangki tambahan.

Seorang anggota penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan terhadap pam minyak bagi memastikan kadar jualan mengikut ketetapan harga yang ditetapkan oleh Kerajaan.
Seorang anggota penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan terhadap pam minyak bagi memastikan kadar jualan mengikut ketetapan harga yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Mendedahkan lebih lanjut, Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, modus operandi sindiket dalam jenayah penyeludupan minyak diesel dan petrol bersubsidi itu sering berubah setiap masa.

Jelas beliau, perubahan itu dilakukan bagi mengelak kegiatan licik mereka menyembunyikan bahan subsidi tersebut dikesan oleh pihak berkuasa.

Aktiviti penguatkuasaan ke atas penggunaan minyak diesel bersubsidi akan sentiasa diperhebatkan oleh pihak KPDN bagi memastikan hanya golongan yang layak sahaja menikmati minyak diesel bersubsidi.
Aktiviti penguatkuasaan ke atas penggunaan minyak diesel bersubsidi akan sentiasa diperhebatkan oleh pihak KPDN bagi memastikan hanya golongan yang layak sahaja menikmati minyak diesel bersubsidi.

“Pelbagai kaedah dan taktik terbaharu akan digunakan bagi memperdaya pihak berkuasa, seterusnya lolos bersama minyak yang diseludup.

“Mereka ini ada yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau pikap (4x4) yang diubah suai bagi menyimpan minyak untuk diseludup.

“Selain itu, lori bertutup kanvas (bonded) biasa digunakan untuk membawa dua hingga tiga tangki plastik IBC berkapasiti 1,000 liter bagi mengisi minyak.

“Penggunaan lori bertutup seumpama sebuah lori kawalan keselamatan yang tidak mempunyai tingkap dipercayai untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.

Azman menjelaskan, taktik mengupah penduduk tempatan itu dikesan aktif di utara tanah air.

“Sindiket bertindak menggunakan orang tempatan untuk mengumpul minyak yang mahu diseludup di satu tempat atau stor haram.

“Sindiket akan meminta orang tempatan untuk membeli minyak petrol atau diesel bersubsidi di stesen-stesen di sekitar Perlis sebelum dikumpulkan dan dijual kembali kepada tauke sindiket secara pukal,” ujarnya.

Tambah beliau, KPDN turut mengenal pasti beberapa kaedah baharu lain digunakan pihak sindiket untuk menyeludup minyak bersubsidi negara ini.

“Bagaimanapun, kaedah terbaharu tersebut tidak boleh didedahkan buat masa ini,” katanya.

Beliau sebaliknya menegaskan, KPDN sentiasa memantau pergerakan kumpulan sindiket yang menggunakan taktik baharu tersebut.

Projek Rintis

Azman berkata, pelbagai usaha berterusan dilakukan KPDN bagi menangani aktiviti penyeludupan minyak diesel dan petrol bersubsidi ke negara jiran dalam usaha memutuskan rantaiannya.

Jelas beliau, pelaksanaan Projek Rintis yang dilancarkan di Perlis pada 15 Februari lalu adalah satu langkah tepat menghalang sindiket daripada terus berleluasa mengaut keuntungan menyeludup minyak bersubsidi.

“Menerusi projek ini, kenderaan luar negara tidak lagi dibenarkan mengisi minyak di stesen-stesen biasa, sebaliknya di stesen-stesen tertentu sahaja.

“Kini terdapat dua buah stesen minyak di Wang Kelian dan Padang Besar di Perlis dibenarkan menjual minyak kepada kenderaan luar negara.

“Stesen minyak terlibat hanya dibenarkan menjual RON95 dan diesel dengan harga komersial yang tidak mempunyai subsidi negara,” jelasnya.

Pasukan polis Marin dan anggota penguat kuasa KPDN bersiap sedia melakukan rondaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan barangan terutama barangan kawalan ke negara jiran.
Pasukan polis Marin dan anggota penguat kuasa KPDN bersiap sedia melakukan rondaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan barangan terutama barangan kawalan ke negara jiran.

Azman berkata, KPDN mengenal pasti punca utama minyak subsidi negara terus diseludup dan diseleweng oleh sindiket di negara jiran disebabkan jurang perbezaan harga sangat besar.

“Sebab itu kita jalankan Projek Rintis bagi mengekang penyeludupan dan penyeludupan minyak bersubsidi negara.

“Apabila dua buah stesen sahaja dibenarkan, mereka (sindiket) tidak lagi boleh membeli minyak di 38 buah stesen minyak di Perlis. Ini adalah satu kejayaan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan.

“Malah, di dua stesen tersebut, harga ditetapkan untuk kenderaan luar (negara) yang mengisi minyak ialah pada harga komersial iaitu tidak mempunyai subsidi negara,” tambah beliau.

Meskipun begitu, katanya, KPDN tidak menolak pelbagai cara lain digunakan oleh sindiket bagi menyeludup bekalan minyak bersubsidi negara.

Sehubungan itu, katanya, pemantauan dan perisikan berterusan dilaksanakan KPDN bagi memburu golongan tidak bertanggungjawab menyeleweng minyak bersubsidi.

“Kesemua 38 pemilik stesen minyak di Perlis telah diberi makluman mengenai risiko sekiranya membantu pihak sindiket menyeludup minyak ke negara jiran.

“Bukan sahaja tindakan tegas membatalkan lesen perniagaan, malah mereka juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” ujarnya.

Penubuhan task force Menurut Azman, mengambil maklum pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu, KPDN telah mengambil tindakan segera melalui pendekatan kerajaan menyeluruh dengan mewujudkan task force bersama pelbagai agensi berkaitan.

Jelasnya, tujuan task force tersebut adalah mengenal pasti punca ketirisan dan mencari jalan penyelesaian secara konkrit dari sudut dasar serta mekanisme pelaksanaan mengatasi aktiviti penyelewengan subsidi minyak.

Beliau berkata, mesyuarat pertama telah diadakan pada 1 Mac lalu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN, seterusnya bertindak melancarkan Ops Tiris yang akan dilaksanakan selama enam bulan sehingga 31 Ogos ini.

“Ops Tiris bertujuan memastikan pelaksanaan subsidi diesel tidak mengalami ketirisan dan sampai kepada pihak yang layak menerimanya.

“Malah, kementerian juga telah menubuhkan dua jawatankuasa dalam pelaksanaan Ops Tiris ini iaitu Jawatan kuasa Pemandu (JKP) yang melibatkan penetapan polisi oleh Ketua Setiausaha KPDN.

KPDN bersama anggota polis marin melakukan pemeriksaan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi ke negara jiran.
KPDN bersama anggota polis marin melakukan pemeriksaan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi ke negara jiran.

“Satu lagi jawatankuasa ialah Jawatan kuasa Teknikal (JKT) yang melibatkan urusan pelaksanaan operasi. Ia akan dipengerusikan oleh saya sendiri selaku Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN,” ujarnya.

Dalam pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2023 pada Februari lalu, Perdana Menteri telah membangkitkan isu wujud ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian hampir RM10 bilion pada 2022 ekoran isu ketirisan melibatkan pelaksanaan subsidi diesel negara.

Mengulas lanjut, kata Azman, orang ramai diharap tidak bersekongkol dengan pihak yang tidak bertanggungjawab menyeleweng minyak bersubsidi negara.

“KPDN ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya jangan jadi sebahagian daripada kumpulan penyangak tersebut kerana perbuatan itu sangat merugikan negara.

“Bukan sahaja tidak adil kepada golongan pembayar cukai, malah perbuatan menjual minyak bersubsidi negara akan menjejaskan bekalan terhadap pengguna tempatan,” jelas beliau mengakhiri perbualan.

Statistik Penguatkuasaan Minyak Diesel Tahun 2022

- Sebanyak 531 kes telah dihasilkan oleh Bahagian Penguat Kuasa dengan nilai rampasan berjumlah RM12.71 juta.

- Sebanyak 259 kes tangkapan direkodkan sepanjang 2022 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Statistik Pelaksanaan Ops Tiris (1 Mac 2023 hingga 15 Mei 2023)

- Sebanyak 6,095 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara.

- Daripada jumlah tersebut, sejumlah 183 kes telah dihasilkan melibatkan rampasan minyak diesel sebanyak 2.26 juta liter yang dianggarkan bernilai RM4.94 juta.

- Bagi tangkapan di bawah Ops Tiris (tempoh yang sama) adalah seramai 164 orang.

- Daripada jumlah tersebut, sebanyak 90 kes melibatkan kes-kes serahan daripada agensi penguatkuasaan lain melibatkan rampasan diesel sebanyak 753,881 liter dengan nilai rampasan berjumlah RM1.7 juta di bawah Ops Tiris (bagi tempoh sama).

- Berdasarkan siri tangkapan dilakukan dan maklumat yang diperoleh, suspek yang ditahan kebiasaannya bekerja sebagai pemandu lori, pekerja di dalam premis atau stor serta kawalan keselamatan.

KRONOLOGI

Isu Ketirisan Diesel

1. Perdana Menteri membangkitkan isu wujudnya ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dianggarkan RM10 bilion pada 2022.

2. KPDN ambil tindakan segera tubuh 'task force' bersama dengan pelbagai agensi berkaitan.

3. Ops Tiris dilancarkan selama enam bulan bermula 1 Mac hingga 31 Ogos 2023.

4. KPDN tubuh dua jawatankuasa untuk pelaksanaan Ops Tiris iaitu Jawatankuasa Pemandu (JKP) melibatkan penetapan polisi oleh Ketua Setiausaha KPDN dan Jawatankuasa Teknikal (JKT) melibatkan urusan pelaksanaan operasi yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN.

5. Agensi lain yang terlibat dalam gerak kerja di bawah pelaksanaan Ops Tiris ialah:

- Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

- Kementerian Dalam Negeri (KDN)

- Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef)

- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS)

- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)

- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

- Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

- Polis Diraja Malaysia (PDRM)

- Pasukan Gerakan Am (PGA)

- Pasukan Polis Marin (PPM)

- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)

- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

6. Bahagian Penguat kuasa KPDN menerusi Unit Inter Agensi sentiasa merangka dan mengadakan hubungan kerjasama yang baik dengan agensi penguatkuasaan negara jiran.

7. Pada 10 hingga 12 Mei lalu, KPDN dijemput menghadiri Mesyuarat Tim Perancangan Operasi Maritim (TPOM) Malaysia Indonesia (Malindo) di Batam, Indonesia bersama PDRM. Antara yang dibincangkan ialah:

i. Kerjasama dalam aspek keselamatan, perkongsian maklumat, latihan dan isu penyeludupan dipergiatkan.

ii. Agensi penguatkuasaan Malaysia akan mempergiatkan kawalan terutamanya di Selat Melaka supaya isu ketirisan dapat dibendung. 'Spirit' TPOM adalah untuk memastikan isu penyeludupan dan keamanan di Selat Melaka berada dalam keadaan terkawal. Pelbagai kaedah dan taktik terbaharu akan digunakan bagi memperdaya pihak berkuasa, seterusnya lolos bersama minyak yang diseludup.''