Batalkan pemilikan bukan Melayu

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hishamuddin
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Hishamuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa semua kerajaan negeri menyelamatkan tanah rizab Melayu yang banyak jatuh ke tangan individu atau syarikat bukan Melayu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kehilangan tanah rizab Melayu ketika ini di Malaysia berada di tahap membimbangkan dan dikhuatiri dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, tanah rizab Melayu akan pupus serta hanya tinggal nama.

“Sebab itu MHO cadangkan supaya kerajaan negeri batalkan mana-mana pemilikan bukan Melayu ke atas tanah rizab Melayu dan memulangkannya kembali kepada Melayu.

“Selain itu, kerajaan negeri perlu diwujudkan satu undang-undang khas bagi membolehkan pihak berkuasa negeri melucutkan mana-mana tanah rizab Melayu yang dipegang oleh bukan Melayu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Kerajaan Perak melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum ini dilaporkan telah menubuhkan jawatankuasa khas dan melaksanakan beberapa langkah mitigasi berhubung isu tanah rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan yang dikatakan telah berpindah milik kepada bukan Melayu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara langkah awal yang telah diambil oleh PTG dalam isu itu ialah melakukan sekatan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar bagi kesemua 3,214 hektar yang terlibat untuk menghalang sebarang transaksi atau pindah milik kepada bukan Melayu.

Hishamuddin menjelaskan, undang-undang khas pelucutan pemilikan tanah rizab Melayu yang dipegang oleh bukan Melayu telah dikuatkuasakan di Terengganu dan Selangor serta ia wajar diperluaskan.

Menurutnya, saranan dan cadangan agar setiap negeri mewujudkan satu perundangan khas bagi melucutkan mana-mana pemilikan atau pegangan bukan Melayu berkaitan tanah rizab Melayu juga pernah disuarakan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan pada 2002.

“Berdasarkan satu pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, ia menyatakan cadangan pemantauan terhadap pemindahan saham yang melibatkan kepentingan dan pegangan Melayu kepada pemilik bukan Melayu serta tindakan susulan yang dicadangkan kepada Pendaftar.

“Antara perkara penting yang dicadangkan adalah PTG atau kerajaan negeri perlu menambah satu peruntukan khas bagi membolehkan pelucutan hak tanah rizab bagi syarikat-syarikat yang bukan lagi dimiliki orang Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung langkah kerajaan Perak menubuhkan jawatankuasa khas dan melaksanakan beberapa langkah mitigasi berhubung isu tanah rizab Melayu pula, Hishamuddin merakamkan ucapan terima kasih kepada Saarani kerana bertindak pantas dalam usaha untuk mengembalikan tanah rizab Melayu di negeri Perak.

Tegas beliau, tindakan itu selaras dengan Enakmen Rizab Melayu Negeri Perak sepertimana diperjuangkan MHO.

“MHO terharu dengan usaha dilakukan Saarani. Bagaimanapun tindakan memasukkan Kaveat Pendaftar tidak akan menyelesaikan masalah ini kerana tindakan paling terbaik adalah membatalkan pemilikan dan mewujudkan undang-undang pelucutan hak milik tanah seperti yang saya sebutkan,” ujarnya.