Juruterbang Black Eagles terharu sokongan rakyat Malaysia

Juruterbang pesawat jenis KAI T-50B (Black Eagles) milik Tentera Udara Republik Korea melambai kepada orang ramai selepas membuat pertunjukkan di pekarangan MIEC sempena LIMA'23 di Langkawi hari ini. - Foto Bernama
Juruterbang pesawat jenis KAI T-50B (Black Eagles) milik Tentera Udara Republik Korea melambai kepada orang ramai selepas membuat pertunjukkan di pekarangan MIEC sempena LIMA'23 di Langkawi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Black Eagles, unit tentera udara dari Korea Selatan terharu dengan sambutan rakyat Malaysia terhadap penyertaan ketiga mereka dalam mempamerkan aksi aerobatik udara pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23).

Ketua juruterbang kumpulan itu, Mej Yang Eunho berkata, penampilan sulung Black Eagles di LIMA adalah pada 2017 dan pasukannya sangat gembira dan berbesar hati menerbangkan pesawat Korea Selatan di ruang udara Malaysia.

"Kami gembira melihat wajah rakyat Malaysia yang menyokong kami dan berharap mereka menikmati persembahan kami.

"Kami mempunyai 24 formasi dengan dua formasi khas iaitu ‘Taeguk’ (bendera Korea Selatan) dan tornado landing yang hanya boleh dilakukan oleh Black Eagles ... saya beharap rakyat Malaysia dapat menontonnya,” katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Yang berkata, mereka bernasib baik kerana cuaca amat bagus dan mereka dapat menerbangkan pesawat serta mempamerkan persembahan terbaik kepada rakyat Malaysia.

"Kami berharap dapat banyak peluang untuk menyertai pertunjukan LIMA akan datang, jika diberi peluang kami akan menunjukkan persembahan lebih hebat kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Pasukan aerobatik daripada Republic of Korean Air Force (ROKAF) itu membuat penampilan pertama pada 2017 menggunakan lapan pesawat latihan T-50B Golden Eagle yang dibangunkan Korean Aerospace Industries (KAI).

Selain Black Eagles, LIMA’23 turut mempamerkan aksi pasukan aerobatik antarabangsa dari Indonesia dikenali sebagai Jupiter, China (August 1st), Russian Knights dan Al Fursan (Emiriah Arab Bersatu). - Bernama