Gesa isytihar pondok pesantren kontroversi sebagai sesat - YPPM

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) menggesa kerajaan mengisytiharkan sebuah sekolah pondok pesantren di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia yang terpalit dengan pelbagai kontroversi sebagai sesat.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, umat Islam di negara ini juga dilarang terlibat dengan sebarang aktiviti membabitkan pusat pengajian berkenaan.

Mashitah
Mashitah

Tegas beliau, pengisytiharan itu penting bagi memastikan ajaran pelik tersebut tidak menular ke Malaysia.

Ujarnya, beberapa perbuatan bertentangan dengan akidah Islam membabitkan pondok itu yang hangat diperkatakan, jelas membuktikan ajaran yang dibawa telah menyeleweng dan sesat.

“Kalau boleh, kita minta Kerajaan Perpaduan segera isytihar bahawa pondok pesantren itu sebagai ajaran sesat dan tidak dibenarkan memasuki Malaysia demi kemaslahatan umat Islam.

“Umat Islam mesti diuar-uarkan dengan perkara ini supaya mereka berhati-hati dan tidak menjemput mana-mana penceramah dari pondok berkenaan atau pernah belajar di sana.

“Di pihak YPPM, kita akan keluarkan satu artikel untuk maklumkan kepada semua pondok di Malaysia supaya menyedari bahawa pondok pesantren itu sesat dan terpesong daripada ajaran Islam sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, ajaran pelik yang berlaku di pondok tersebut memberi kesan yang sangat besar kepada institusi pondok lain bukan sahaja di Indonesia, malah di Malaysia juga.