LIMA 2023 detik terbaik kerjasama UAE-Malaysia

Persembahan udara dari pasukan Russian Knights sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'23) hari ini.
Persembahan udara dari pasukan Russian Knights sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'23) hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 edisi ke-16 muncul sebagai detik penting dalam perkongsian membabitkan kerjasama pertahanan dan keselamatan Emiriah Arab Bersatu (UAE)-Malaysia yang semakin berkembang pesat.

Digelar sebagai antara pameran maritim dan aeroangkasa yang paling signifikan di rantau Asia-Pasifik, pameran LIMA tahun ini berfungsi sebagai platform bagi EDGE, sebuah konglomerat pertahanan UAE yang terkemuka, mengukuhkan kehadirannya di Asia Tenggara.

Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan, yang berada di Malaysia bagi lawatan rasmi empat hari sejak 21 Mei berkenan berangkat melawat pameran itu.

Pameran pertahanan itu juga mempunyai kepentingan besar dalam kerjasama pertahanan dan keselamatan antara Malaysia-UAE.

Acara dwitahunan LIMA kali ini yang bertemakan"Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia" disertai lebih 525 peserta pameran, termasuk 140 syarikat daripada industri pertahanan, 101 syarikat sektor komersial dan 284 syarikat yang terlibat dalam kedua-dua sektor.

Semasa pameran itu, Caracal International, sebahagian daripada Kumpulan EDGE (EDGE), mengumumkan pemeteraian perjanjian dengan Ketech Asia yang berpangkalan di Malaysia, iaitu pengeluar peluru termaju dan penyedia senjata ringan, untuk pengeluaran dan penjualan semula ‘assault rifle’ Caracal CAR 816 di Malaysia.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua syarikat akan melaksanakan pertukaran teknologi yang membolehkan Ketech Asia memasang senapang CAR 816 di kemudahan baharunya di Pahang bagi menyokong keperluan Angkatan Tentera Diraja Malaysia.

Kajian semula akan dijalankan bagi mengkaji potensi pembangunan senjata api baharu secara bersama dan Ketech Asia akan menjadi penjual rasmi senapang itu dengan matlamat untuk meningkatkan jualan produk bagi pasaran seluruh Asia Tenggara.

Langkah ini mengukuhkan keyakinan EDGE dalam membangunkan perkongsian industri yang bernilai dan saling menguntungkan di Malaysia.

Mansour AlMulla, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE, dilaporkan berkata bahawa syarikat itu berbangga dapat mempamerkan keupayaannya merentasi domain udara, darat dan maritim pada LIMA 2023, serta membangunkan hubungan strategik di Asia Tenggara.

"UAE dan Malaysia berkongsi sejarah kerjasama yang erat, dan kami komited untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan membangunkan perkongsian berharga di seluruh rantau ini," beliau dipetik sebagai berkata.

Semasa LIMA 2023, Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Khaled berkenan mencemar duli melawat Gading Marine Fast Inspector Craft G200 MKII dan reruai syarikat aeroangkasa tempatan Gading Group.

Sultan Abdullah dan Sheikh Khaled turut melakukan kunjungan ke reruai lain, iaitu Sapura Secured Technologies, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, serta The Edge Group UAE yang terlibat dalam persenjataan tentera dan teknologi berkaitan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyertai Sheikh Khaled, yang juga pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi, menyaksikan pertunjukan udara oleh pasukan aerobatik dari pelbagai negara termasuk Al-Fursan UAE yang melakukan formasi hebat menggunakan tujuh jet Aermacchi MB339A.

Al-Fursan bermaksud 'The Knights' membuat penampilan sulungnya pada 20 Jan 2010.

Semasa berada di Malaysia, Sheikh Khaled menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara (Istana Negara) pada Selasa selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sehari sebelumnya.

UAE ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, dan destinasi eksport kedua terbesar serta pasaran import kedua terbesar di rantau Asia Barat.

Lawatan khas Sheikh Khaled ke Malaysia bagi mengukuhkan lagi hubungan baik yang telah lama terjalin antara Malaysia dan UAE, dan dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 27 Sept 2022. - Bernama.