'Bukan suara saya'

Loy Sian menunjukkan rakaman disebarkan melalui WhatsApp yang mendakwa dirinya menyokong produk plastik mudah urai.
Loy Sian menunjukkan rakaman disebarkan melalui WhatsApp yang mendakwa dirinya menyokong produk plastik mudah urai.
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian menafikan dirinya terlibat dalam kenyataan melalui rakaman suara Bahasa Mandarin mengenai sokongan terhadap produk sebuah syarikat plastik mudah urai baru-baru ini.

Loy Sian berkata rakaman melalui aplikasi WhatsApp itu disebarkan pada April lalu dan dia hanya menyedarinya semalam.

"Ada pihak tak bertanggungjawab keluarkan berita palsu mengatakan saya menyokong sebuah produk plastik mudah urai, mereka meletakkan kononnya rakaman suara saya dan profil WhatsApp tersebut tertera gambar saya sedangkan saya tidak menggunakan profil itu.

"Saya tegaskan tidak pernah saya keluarkan kenyataan sedemikian melalui rakaman suara WhatsApp, jauh sekali untuk menyokong produk berkenaan dan menolak produk lain, ini sudah keterlaluan," katanya sidang media di Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Menurutnya yang juga Adun Kajang, tindakan itu amat keterlaluan dan beliau meminta pihak terbabit menghentikan perkongsian dan penyebaran rakaman berkenaan.

"Sekiranya tidak, saya akan terus melaporkan perkara ini kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya.

Artikel Berkaitan: