KPISM tolak cadangan letak imigresen di bawah agensi lain

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menolak sebarang cadangan meletakkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah mana-mana agensi di negara ini.

Presidennya, Khairil Niza Khairudin berkata, perkara itu dirujuk kepada laporan media yang menyatakan 'Letak Jabatan Imigresen bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disiarkan pada 24 Mei lalu.

Menurutnya, laporan tersebut mendakwa JIM gagal menyelia pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan baik.

Namun begitu tegasnya, dakwaan tersebut dilihat sebagai tidak berasas dan tidak adil.

"Seperti mana kita sedia maklum, JIM telah melaksanakan penguatkuasaan terhadap PATI mengikut undang-undang dan dasar yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

"Oleh itu, KPISM berpandangan kenyataan yang menyatakan JIM telah diberikan kuasa mengurus warga asing tetapi didakwa gagal menyelia kumpulan tersebut adalah satu tuduhan tidak berasas dan tidak adil," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang secara khususnya menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-peraturan Imigresen 1963, JIM mempunyai keupayaan dan sentiasa siap siaga dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab diberikan.

Menurutnya, semua itu dilaksanakan sebaiknya demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman.

Katanya lagi, JIM telah melakukan pemeriksaan kawalan di pintu masuk negara yang diwartakan mengikut standard operasi (SOP) ditetapkan.

'Bagi pintu masuk yang tidak diwartakan atau dikenali sebagai laluan tikus, ia tidak dikawal selia oleh JIM, sebaliknya dikawal selia oleh agensi keselamatan yang lain.

'KPISM juga menekankan kesiapsiagaan ahlinya yang merupakan warga kerja JIM di segenap lapisan bagi memartabatkan tanggungjawab diberikan serta dilaksanakan secara terbaik, adil dan saksama dengan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan," ujarnya.

Sementara itu, Khairil Niza berkata, KPISM bersetuju supaya peluang dan ruang kemajuan kerjaya di JIM dapat dibuka seluasnya kepada pegawai daripada Skim Keselamatan dan Pertahanan (Skim KP) yang memenuhi kelayakan.

Malah menurutnya, kesatuan menyokong segala usaha jabatan dalam mengangkat cadangan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar lebih banyak jawatan di peringkat pengurusan JIM dapat difleksikan di antara skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Skim M) serta Skim Keselamatan dan Pertahanan (Skim KP) iaitu daripada Gred KP41 dan ke atas.

Jelasnya, pelaksanaan itu dilihat mampu membantu pegawai yang berpengalaman serta memiliki akademi tinggi berpeluang memegang jawatan di peringkat pengurusan, sama ada di peringkat bahagian dan negeri.

"KPISM percaya bahawa tanggungjawab mendaulatkan keselamatan dan kesejahteraan negara memerlukan pengemblengan azam dan iltizam secara bersama.

"Ini bagi menentukan negara berdaulat, memastikan sempadan negara tidak diceroboh, menjamin keselamatan negara sentiasa utuh dan terpelihara, kesejahteraan rakyat dan warganya sentiasa terjamin," ujarnya.