IKMa mulakan langkah perkasa koperasi bebas riba

Pengendali koperasi seluruh negara hadir pada program Town Hall dan Bicara Naratif anjuran IKMa di Bangi pada Rabu.
Pengendali koperasi seluruh negara hadir pada program Town Hall dan Bicara Naratif anjuran IKMa di Bangi pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Koperasi Malaysia (IKMa) memulakan langkah memperkasakan peranan koperasi dalam sistem ekonomi Islam dan bebas riba menerusi penganjuran program seminar serta town hall melibatkan pengendali koperasi di seluruh negara.

IKMa dalam satu kenyataan memaklumkan, program berkenaan adalah langkah awal pemegang taruh menggerakkan koperasi ke arah pemerkasaan dan kelestarian melalui kerangka tadbir urus syariah yang ideal serta praktikal bagi mendepani masa hadapan.

Ujar IKMa, berdasarkan Perangkaan Gerakan Koperasi Malaysia 2022, bilangan koperasi di negara ini meningkat sebanyak tiga peratus iaitu 15,315 berbanding 14,834 pada 2021 dengan lonjakan 20 peratus jumlah perolehan daripada RM37.90 bilion kepada RM45.50 bilion bagi tempoh tersebut.

“Daripada bilangan koperasi tahun lepas, hanya 1.35 peratus atau 208 koperasi yang telah menerima pengiktirafan Pematuhan Syariah daripada Angkasa (statistik setakat Februari 2023).

Dr Mohd Daud menyampaikan ceramah bertajuk Sistem Ekonomi Islam dan Audit Syariah Koperasi pada seminar itu.
Dr Mohd Daud menyampaikan ceramah bertajuk Sistem Ekonomi Islam dan Audit Syariah Koperasi pada seminar itu.

“Walaupun bilangan koperasi yang mendapat sijil patuh syariah mengalami peningkatan daripada semasa ke semasa, namun isu yang dikenal pasti adalah berkaitan amalan tadbir urus patuh syariah dalam kalangan koperasi.

“Walaupun kebanyakan koperasi mendakwa aktiviti ekonomi mereka adalah berasaskan patuh syariah, namun masih terdapat jurang antara amalan semasa tadbir urus koperasi dengan amalan baik tadbir urus syariah dalam perniagaan koperasi,” kata IKMa dalam kenyataan sempena program Bicara Naratif Peranan Koperasi Dalam Sistem EKonomi Islam dan Town Hall Kerangka Audit Syariah Koperasi di Bangi pada Rabu.

Sehubungan itu, IKMa telah mengambil inisiatif menganjurkan program Town Hall dan bicara naratif bagi memberi kesedaran kepada warga koperator untuk bertindak membangunkan pelan tindakan memperkemas pengurusan dan pentadbiran serta memperkukuhkan aktiviti ekonomi koperasi melalui amalan baik tadbir urus syariah.

Program tersebut dikendalikan Pusat Antarabangsa & Kolaborasi dan Pusat Kewangan & Akaun, IKMa dengan kerjasama rakan strategik utama seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Hadir sama, tokoh korporat, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang mengupas secara terperinci topik berkaitan konsep dan kepentingan sistem ekonomi Islam.