Aktiviti tebang hutan, korek pasir ganggu hidupan sungai

Mohd Zolkafly ketika menjawab soalan lisan Berhanudin sempena Sidang DUN Perak di sini pada Rabu.
Mohd Zolkafly ketika menjawab soalan lisan Berhanudin sempena Sidang DUN Perak di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kegiatan penebangan hutan dan pengorekan pasir antara aktiviti dikenal pasti menyumbang kepada gangguan ekosistem sungai-sungai di negeri Perak yang memberi kesan kepada nelayan darat.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, selain itu sekatan laluan air oleh empangan, kerja-kerja tanah dan buangan air limbahan domestik turut mengganggu ekosistem sungai.

Katanya, sehubungan itu kerajaan negeri dari semasa ke semasa melalui kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan menjalankan kempen kesedaran awam dan tindakan undang-undang berdasarkan peruntukan sedia ada.

"Mengenai isu ikan asing yang ditemui di dalam sungai, usaha mengawal kemasukan dan pemeliharaan ikan tersebut secara tidak sah sedang dilaksanakan.

"Bagi tujuan tersebut, Jabatan Perikanan akan memperkenalkan kawalan peraturan baharu iaitu Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Darat) dan ia di peringkat penyediaan dokumen," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Berhanudin Ahmad (PN-Manong) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan juga telah mewujudkan beberapa santuari ikan air tawar bagi pemuliharaan ikan semula jadi seperti ikan kelisa di Bukit Merah daerah Kerian, ikan Kelah di Sungai Tiang dan ikan Loma di Sungai Rui juga di daerah Gerik.

Menurutnya, aktiviti menangkap ikan sungai memerlukan Lesen Peralatan Menangkap Ikan yang dikeluarkan melalui Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 oleh Jabatan Perikanan Negeri Perak.

Jelas beliau sehingga kini di terdapat seramai 2,300 nelayan darat di Perak dengan pendaratan dianggarkan sebanyak 2,700 tan metrik bernilai RM37.76 juta setahun.

Dalam perkembangan berkaitan, pada 2022 sebanyak 4.4 juta benih ikan dan udang telah dilepaskan di perairan umum melibatkan sungai, tasik dan kolam bekas lombong yang diwartakan di seluruh daerah di negeri ini.