'Pejuang Melayu, Islam patut kecam penyelewengan'

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A
IPOH - Pejuang Melayu dan Islam seharusnya tampil ke hadapan mengecam pengkhianatan terhadap institusi berkepentingan di negara ini.

Mohamad Sabu berkata, masyarakat Melayu dan Islam tidak seharusnya mendiamkan diri serta mempertahankan jenayah penyelewengan khazanah negara yang kebanyakannya mewakili kepentingan mereka.

Katanya, orang Melayu seharusnya berani merancang kemajuan dengan melangkaui batas sentimen kaum.

"Skandal kewangan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam institusi-instusi seperti Felda, Tabung Haji, Felcra dan tentunya 1MDB sepatutnya menjadi agenda besar pejuang-pejuang Melayu dan pemimpin-pemimpin Islam.

"Kita mengharapkan pejuang-pejuang Islam dan pejuang-pejuang Melayu tampil ke hadapan, bersuara mengecam pengkhianatan ini dan bersama-sama dengan Kerajaan PH membuat perubahan untuk mengembalikan hak rakyat dan sebahagian besarnya hak orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2018, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, pemimpin-pemimpin Islam sepatutnya menunjukkan kesungguhan dalam memperjuangkan pembangunan kesejahteraan dan keharmonian rakyat.

Katanya, mereka sepatutnya menjadi pembela kepada rakyat termiskin tanpa mengira bangsa, mengembalikan keadilan kepada yang ditindas dan menentang amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Sayangnya, mereka sekarang lebih cenderung untuk memainkan api sentimen permusuhan antara kaum. Pendekatan ekstremisme perkauman dan agama ini seterusnya akan hanya membawa negara ke kancah kehancuran dan kemusnahan.
Artikel Berkaitan:


"Amat malang bila kehancuran ini berpunca dari kegopohan dan kecuaian umat Melayu Islam sendiri yang lalai memilih jalan ektremisme perkauman. Ingatlah, masa depan anak cucu kita bergantung kepada kebijaksanaan kita memilih jalan yang bijak untuk membina bangsa ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kekecewaan terhadap Pas dan Umno yang memperalatkan kaum serta agama untuk mempertahankan sokongan kepada mereka.

Mohamad berkata, Amanah tampil dalam persada politik membawa mesej serta pengisian Islam tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.