'Projek Taman Rimba Kiara tak usik kawasan hijau'

Khalid Abd Samad
Khalid Abd Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad mengesahkan projek pembangunan Taman Rimba Kiara tidak akan melangkau kawasan taman dan menjejaskan kawasan hijau seperti dibimbangkan Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Katanya, perkara itu diputuskan dalam rundingan pengecilan skala projek antara Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), pemaju dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam penyelesaian penempatan penduduk rumah panjang yang berlarutan puluhan tahun lamanya.

"Saya ingin maklumkan cadangan pengecilan skala pembangunan sebanyak 50 peratus melibatkan tanah seluas 3.2 hektar adalah menggunakan tapak rumah panjang sedia ada dan kawasan parkir taman yang akan digunakan jika cadangan itu diluluskan Kabinet.

"Harap penduduk TTDI boleh korbankan kawasan parkir taman bagi membolehkan penduduk rumah panjang mendapatkan rumah mereka tanpa usik kawasan hijau," katanya pada sidang media khas di Menara DBKL 1 hari ini.

Berhubung kenyataan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mempersoalkan tidak dipanggil ke lawatan tapak dibuat oleh KWP, YWP dan pemaju katanya, perkara itu tiada keperluan kerana ia hanya melibatkan perbincangan dalaman.

"Ia hanya untuk mengenal pasti sempadan tanah yang akan digunakan bagi cadangan pengecilan skala. Tiada keperluan menjemput pihak luar sama ada Ahli Parlimen, penduduk mahupun media.

"Cadangan itu akan dikemukakan dalam Kabinet dan Hannah bersama penduduk juga boleh mengemukakan pelan alternatif atau pandangan mereka dalam tempoh dua minggu dari sekarang untuk diserahkan untuk pertimbangan Kabinet," katanya.

Khalid berkata, cadangan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek tanpa melibatkan campur tangan politik atau sebarang kepentingan.

Artikel Berkaitan:

"Harap cadangan ini diterima dan jika projek tidak diteruskan maka DBKL perlu menyediakan RM175 juta iaitu RM150 juta pampasan pembelian tanah kepada pemaju dan RM25 juta untuk pembinaan pengsapuri penempatan semula penduduk rumah panjang.

"Kertas kerja akan dibentangkan ke Kabinet yang dijangka akan diputuskan antara hujung Mei hingga awal Jun hadapan. Perkara itu sudah saya maklumkan kepada Hannah seminggu lalu namun belum ada sebarang pelan alternatif dikemukakan setakat hari ini," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Hannah yang mempersoalkan tindakan KWP, YWP dan pemaju tidak melibatkan beliau dengan isu projek pembangunan Taman Rimba Kiara.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi sejak 2017 dan mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan itu.

Pemaju bersetuju mengurangkan saiz dan jumlah blok pangsapuri dengan keluasan projek itu dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar antara pembangunan yang akan diteruskan, empat blok kondominium serta satu blok rumah mampu milik yang akan diserahkan kepada 100 penduduk rumah panjang.

ARTIKEL BERKAITAN Saya bukan nak berbalah dengan Khalid, kata Hannah Yeoh

ARTIKEL BERKAITAN Kabinet tentukan status projek Taman Rimba Kiara