Perdaya kerajaan Sabah, SPRM reman lima individu

Suspek yang disyaki memperdaya kerajaan negeri Sabah bagi mengelak membayar royalti penjualan emas ditahan reman sehingga 26 Mei ini oleh SPRM.
Suspek yang disyaki memperdaya kerajaan negeri Sabah bagi mengelak membayar royalti penjualan emas ditahan reman sehingga 26 Mei ini oleh SPRM.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu kerana disyaki terlibat dalam kes berkaitan memperdaya kerajaan negeri Sabah bagi mengelak membayar royalti penjualan emas.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 Mei telah dikeluarkan oleh Majistret Shasha Damia Sabtu di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada pengarah dan pengurus akaun syarikat emas serta tukang emas yang berusia antara 30 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

"Suspek-suspek terlibat disyaki membeli emas dengan jumlah berat melibatkan ratusan kilogram dengan anggaran nilai jutaan ringgit," katanya pada Selasa.

Namun begitu jelas sumber, suspek dipercayai mengemukakan penyata jual beli emas yang mengandungi butiran palsu bagi mengelak daripada membayar royalti sebenar kepada kerajaan negeri Sabah.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.