Tiada elemen politik penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran

Mohd Na'im (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran Majlis Tilawah dan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M pada Selasa.
Mohd Na'im (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran Majlis Tilawah dan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Tiada elemen politik disebalik penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) yang diadakan di Pulau Pinang pada tahun ini.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan menjadikan Pulau Pinang sebagai tuan rumah untuk acara tahunan itu dibuat pada tahun lalu sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, penganjuran majlis tilawah ini juga dijalankan secara pusingan dan kebetulan tahun ini giliran Pulau Pinang.

"Jadi saya ingat tidak ada elemen politik di sebalik pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah bagi majlis tilawah ini.

“Malah, Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memilih negeri ini melalui proses pusingan dan secara kebetulan Pulau Pinang bersetuju menerima jemputan tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran Majlis Tilawah dan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, seramai 112 peserta akan mengambil bahagian dalam MTHQK yang akan diadakan di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA).

Beliau berkata, majlis yang akan diadakan bermula 11 hingga 16 Jun depan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Secara umumnya setiap negeri menghantar lapan peserta iaitu dua dalam pertandingan Tilawah Al-Quran manakala enam lagi pertandingan Hafazan Al-Quran.

"Penglibatan seluruh negeri dalam pertandingan tahun ini menjadikan jumlah peserta Tilawah adalah seramai 29 orang; iaitu 14 qari dan 14 qariah dan seorang johan menunggu qari.

"Hafazan pula bakal menyaksikan seramai 80 peserta, dengan para huffaz lelaki dan wanita akan bertanding dalam tiga kategori iaitu 10, 20 dan 30 juzuk yang mana peserta terdiri daripada mereka yang berusia 10 hingga 25 tahun," katanya.

Mohd Na'im berkata, seramai 32 hakim terlibat termasuk 17 bagi menilai bacaan para peserta tilawah manakala para huffaz pula akan dinilai oleh 15 hakim.

Tambahnya, jemaah hakim akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Jelasnya lagi, johan peserta Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun ini akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan pada 20 hingga 26 Ogos 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.