RUU Hotel Perak diluluskan

Dewan Negeri Perak pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023.
Dewan Negeri Perak pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023.
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023 membabitkan pelesenan dan pengawalan hotel di negeri ini.

Keputusan itu diumumkan Yang di-Pertua Dewan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas proses pengundian dilakukan.

Daripada 57 Ahli Dewan Negeri yang mengundi, 32 ahli telah menyokong manakala 25 lagi menyatakan tidak bersetuju.

Semasa pengundian, dua Ahli Dewan Negeri iaitu Nga Kor Ming (PH-Kepayang) dan Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat (PN-Titi Serong) tidak berada dalam Dewan.

Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang bacaan kali ketiga oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching dengan dibahaskan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri.

RUU itu antara lain bagi menggantikan Enakmen Rumah Tumpangan 1927 selari dengan perkembangan positif negeri Perak yang menerima semakin ramai pengunjung setiap tahun selain pembangunan pesat kemudahan penginapan seperti hotel, chalet dan resort.

.................................................................................................

Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 yang antara lain untuk menaikkan penalti dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Negeri Perak pada Selasa.

RUU dibentangkan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun itu bertujuan meminda Enakmen Perladangan Unggas 2005 [Enakmen 2] bagi menambah baik peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Enakmen ibu berhubung kawal selia perladangan unggas di negeri ini.

Mohd Zolkafly berkata, RUU dicadangkan itu mengandungi 26 fasal terdiri penambahbaikan 21 peruntukan sedia ada, pewujudan dua peruntukan baharu dan pemotongan satu peruntukan sedia ada yang terkandung dalam enakmen ibu serta dua peruntukan permulaan kuat kuasa dan peralihan Rang Undang-Undang.

Menurutnya, antara dicadangkan penggunaan reban tertutup sebagai langkah-langkah kearah memodenkan bidang penternakan unggas sekaligus mengurangkan isu pencemaran dan kacau ganggu awam.

"Kerajaan negeri telah menetapkan Tempoh Muktamad Penguatkuasaan (TMP) penggunaan sistem reban tertutup sepenuhnya bagi perladangan unggas pada Disember 2025 dan akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026.

"Selain itu, syarat pelepasan sifar (zero discharge) juga merupakan kriteria yang telah ditambah bagi mengatasi isu pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti perladangan unggas," katanya.

Beliau berkata, pindaan enakmen itu juga bertujuan menaikkan penalti bagi beberapa kesalahan antaranya berkaitan pelanggaran syarat lesen daripada RM5,000 kepada RM20,000.

Katanya, pindaan juga dicadangkan untuk menaikkan penalti kesalahan membenarkan pembiakan lalat, serangga atau makhluk perosak dengan menaikkan denda daripada tidak melebihi RM10,000 kepada tidak melebihi RM50,000.

"Kenaikan kadar denda ini langkah untuk memastikan pengusaha ladang unggas lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengurusan tinja dan kebersihan ladang bagi mengelakkan berlakunya pembiakan lalat.

"Ini berdasarkan statistik 92 peratus aduan berkaitan perladangan unggas adalah melibatkan kacau ganggu lalat," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu mendedahkan, berdasarkan rekod statistik kompaun kesalahan di bawah Enakmen Perladangan Unggas 2005 dari tahun 2012 sehingga 2022, sebanyak 235 kompaun dengan nilai RM288,190 telah dikeluarkan kepada ladang unggas yang telah melakukan kesalahan.

Ujarnya, kompaun berkaitan Seksyen 17 iaitu kesalahan membenarkan pembiakan lalat, serangga atau makhluk perosak mencatatkan jumlah yang tertinggi iaitu sebanyak 90 kompaun dengan nilai RM173,490.

"Penambahbaikan dari semasa ke semasa berkaitan kawal selia perladangan unggas di negeri ini perlu sentiasa dikemas kini seiring dengan kehendak semasa industri.

"Ini bagi memastikan keterjaminan makanan dan kesejahteraan awam," katanya.

Perak ketika ini menyumbang 18 peratus daripada pengeluaran ayam negara dengan jumlah 146 juta ekor ayam setahun manakala ternakan itik menyumbang sebanyak 76 peratus daripada pengeluaran itik negara dengan jumlah tujuh juta ekor.