PRNNK fokus perkasa masyarakat celik al-Quran

ADNAN
ADNAN
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) fokus memperkasakan ahli-ahli bersekutu dalam usaha mengurangkan majoriti mereka yang tidak mengenal al-Quran di negeri ini.

Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim berkata, setakat ini PRNNK mempunyai lebih 1,051 ahli biasa dengan 172 Rumah Ngaji manakala 30 ahli bersekutu antaranya ialah Angkatan Belia Islam Malaysia dan Pertubuhan Ikram Malaysia.

“PRNNK memperkenalkan ahli bersekutu bermula Jun tahun lalu dan jumlahnya akan diperluaskan lagi kepada agensi dan jabatan lain selepas ini.

“Kerjasama akan dilakukan melalui pelbagai aktiviti dan program supaya lebih ramai mengenali serta membaca al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Jamuan Raya dan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-4/2023 di PCB di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, kaji selidik secara rambang yang dilakukan mendapati keadaan membimbangkan apabila majoriti tidak tahu langsung membaca al-Quran dan ada yang tahu tetapi tidak mengamalkan bacaan kitab itu.

“Kami tidak mahu umat Islam berada dalam keadaan bahaya dan jauh dari nikmat syurga.

“PRNNK bermesyuarat untuk mengatur strategi yang lebih terancang dan teliti supaya manusia boleh kembali kepada al-Quran,” katanya.

Tambah beliau, pada masa sama program-program seperti World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour yang mengumpul lebih 10,000 peserta di negeri ini setiap tahun diteruskan.