Kos selenggara flat TUTA dianggarkan RM26.3 juta

Keadaan Flat TUTA sebelum kerja-kerja pembersihan - foto Johor Post
Keadaan Flat TUTA sebelum kerja-kerja pembersihan - foto Johor Post
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji pelan rejuvinasi terhadap flat kos rendah di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di Skudai, Johor Bahru yang dianggarkan berjumlah RM26.3 juta.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa masalah seperti infrastruktur yang usang, tahap kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan yang rendah, serta kekurangan dana akibat kutipan caj pengurusan yang rendah di flat yang berusia lebih 40 tahun itu.

Justeru katanya, antara penyelenggaraan yang dirancang termasuk mengecat bangunan blok flat, menaik taraf pengairan dan saliran secara berfasa, membaiki sistem pendawaian, penyelenggaraan sistem perparitan sedia ada dan pengindahan landskap.

“Kementerian menjunjung kasih atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas peringatan dan nasihat baginda mengenai kerja-kerja pembersihan di kawasan Flat Kos Rendah Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) Skudai, Johor Bahru demi kepentingan rakyat.

“Oleh itu, KPKT melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengarahkan syarikat konsesi SWM Environment Sdn Bhd untuk mengambil tindakan segera menambah baik prestasi perkhidmatan di kawasan tersebut sepertimana yang tertakluk di dalam perjanjian konsesi dan membantu agensi-agensi lain seperti persatuan penduduk, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja pembersihan di luar skop kerja perkhidmatan.

“Pembersihan itu turut meliputi pemotongan rumput dan pembersihan longkang-longkang tersumbat yang terdapat di sekeliling kawasan Flat TUTA,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Dianggarkan sebanyak 90 tan longgokan sisa pukal yang telah dikutip dan dilupuskan ke tapak pelupusan manakala sebanyak 50 unit tong sampah beroda (TSB) telah ditukar, 449 unit TSB dibaik pulih di kesemua 88 blok di flat tersebut, hasil kerja-kerja pembersihan berkenaan.

Untuk rekod, sehingga 17 Mei 2023, seramai 50 anggota dan sejumlah 10 jentera kenderaan Roll on Roll Off (RORO), 3 jentolak dan lori kompaktor telah digerakkan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan kutipan sisa pepejal di sekitar kawasan Flat TUTA.

Tambah Kor Ming, pihaknya juga mendapati hanya 15 peratus caj penyelenggaran berjaya dikumpul daripada 4,089 unit (rumah) di 88 blok flat berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya juga mendapati terdapat 10 blok di yang tidak mempunyai jawatankuasa penduduk ketika ini.

“Perkara itu (jawatankuasa penduduk) perlu diteliti dan diperbaiki bagi memastikan perubahan persekitaran di situ bagi jangka masa panjang.

“Isu kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan setiap kumpulan masyarakat haruslah memainkan peranan masing-masing, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di rumah pangsa dan berkongsi kemudahan awam yang disediakan oleh PBT, termasuklah perkhidmatan sisa pepejal.

“Oleh itu, pihak jawatankuasa penduduk perlu bersedia menggembeling tenaga memupuk semangat kejiranan yang tinggi serta rasa tanggungawab untuk memelihara persekitaran yang bersih dan selamat di kawasan kejiranan,” katanya.

Justeru, KPKT amat komited dalam menyelesaikan masalah ini dan akan terus bekerjasama dengan penduduk, pihak pengurusan bangunan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri bagi menambah baik kualiti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan khususnya di negeri Johor.

Sementara itu Kor Ming berkata, KPKT bakal beberapa siri libat urus dengan mewujudkan kerjasama bersama Perbadanan Pengurusan (MC) dan penduduk bagi pelaksanaan program-program pendidikan masyarakat dan kesedaran awam berkaitan pengurusan sisa secara mampan, program pengasingan sisa di punca (SAS-Separation At Source), 3R (Reduce-Reuse-Recycle), Program kitar semula berganjaran selain mengenal pasti lokasi-lokasi yagn sesuai bagi proses pelupusan sisa pukal.

“KPKT juga akan memastikan pemantauan secara berkala dan tindakan penguatkuasaan bagi penduduk dan orang awam yang tidak mematuhi undang-undang sedia ada berkaitan kaedah pelupusan sisa pepejal yang dijana dan kebersihan kawasan awam,” katanya.