Kalimah ALLAH: LUHAM turut pertikai keputusan KDN

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat mempertikaikan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kes ‘Kalimah ALLAH’ itu sama ada dibuat mengambil kira konsultasi daripada pihak terlibat atau sebaliknya.

Pengerusinya, Wan Rohimi Wan Daud berkata, konsultasi atau libat urus itu perlu dibuat dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang merupakan sahabat mahkamah (amicus curae) sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah menimbulkan kegusaran di kalangan penganut agama Islam, dan adalah penting untuk Mahkamah Atasan menilai semula keputusan tersebut untuk melihat rasional dan kemunasabahan keputusan Kementerian Dalam Negeri yang dibuat tahun 1986.

“Rayuan tersebut adalah penting untuk membolehkan Mahkamah Rayuan iaitu Mahkamah Atasan untuk menyemak dan menilai semula keputusan Mahkamah Tinggi dan alasan-alasan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Pada Isnin, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi media mengesahkan kerajaan Malaysia dan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Dalam pada itu, ujar Wan Rohimi, LUHAM turut menuntut supaya Menteri Dalam dan Peguam Negara supaya memberi penjelasan berhubung persoalan lain melibatkan soal kes ‘Kalimah ALLAH’ itu.

Menurutnya, tindakan kerajaan yang menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes itu jelas kelihatan sangat lemah dan gagal mempertahankan aspirasi masyarakat Islam di negara ini.

Ujar beliau, antara persoalan yang perlu dijawab adalah sama ada keputusan menarik balik rayuan itu telah diperhalusi oleh anggota-anggota kabinet, atau terdapat apa-apa bantahan daripada mana-mana ahli kabinet Kerajaan Madani.

“Sama ada KDN telah membuat konsultasi atau libaturus dengan semua pemegang taruh termasuk institusi diraja yang merupakan ketua agama Islam dalam isu yang berkait agama Islam ini?

“Sama ada KDN telah membuat keputusan menarik balik rayuan tersebut atas desakan atau tekanan pihak-pihak tertentu?

“Kelima, kenapa KDN memfailkan Notis Pemberhentian untuk menarik balik rayuan tersebut tanpa apa-apa hebahan dibuat kepada masyarakat umum, yang mempunyai hak untuk mendapat maklumat tentang isu-isu terkait amalan agama Islam dan juga ‘peaceful co-existence’ (kewujudan bersama secara aman) di negara ini?” soalnya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!