Laluan sukar buat Pita Limjaroenrat

Rancangan Pita untuk membatalkan Seksyen 112 (Undang-undang Lese Majeste) telah mengundang resah beberapa senator. - Foto: Agensi
Rancangan Pita untuk membatalkan Seksyen 112 (Undang-undang Lese Majeste) telah mengundang resah beberapa senator. - Foto: Agensi
A
A
A

BANGKOK - Drama politik Thailand semakin panas apabila cadangan untuk melantik pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat sebagai Perdana Menteri mengundang pelbagai reaksi dan seakan-akan kurang mendapat restu Dewan Senat yang dilantik tentera.

Senator Peeraksak Porjit berkata, terpulang kepada parti untuk meraih sokongan yang diperlukan bagi menamakan calon pengganti Prayut Chan-o-cha.

"Senator juga akan mempertimbangkan untuk melihat sama ada ia adalah calon yang sesuai atau tidak. Secara prinsip, senator perlu menghormati keputusan majoriti ahli Parlimen," katanya.

Sementara itu, Senator Jetn Sirathranont berpendapat parti politik yang memenangi paling banyak kerusi berhak mengumpul sokongan dan menubuhkan kerajaan terlebih dahulu.

Senator Wallop Tangkananurak pula memberitahu beliau sedia memberikan sokongan kepada calon yang berjaya memperoleh lebih 250 ahli Parlimen.

Berbeza pula dengan Jadet Insawang yang menegaskan beliau tidak akan mengundi Pita jika namanya dicalonkan.

"Pita pernah cuba membatalkan Seksyen 112 (Undang-undang Lese Majeste). Ia sememangnya tidak boleh diterima," ujar Jadet.

MFP kini cuba meyakinkan para senator untuk menyokong Pita, 42, selain mahu mengumpulkan sokongan daripada parti lain bagi membentuk kerajaan campuran.

Di bawah Perlembagaan 2017, kira-kira 376 undi sokongan diperlukan ketika kedua-dua dewan bersidang untuk melantik perdana menteri.

Setiausaha Agung MFP, Chaithawat Tulathon memaklumkan mereka bersedia untuk bertemu dengan senator bagi meredakan kebimbangan golongan itu dan mengelakkan kebuntuan politik.

Pada Isnin, Pita mengumumkan rancangan untuk menubuhkan kerajaan campuran terdiri daripada lima bekas parti pembangkang dan sebuah parti baharu iaitu MFP, Pheu Thai, Thai Sang Thai, Prachachart, Seri Ruam Thai dan Parti Fair yang akan menggabungkan 310 ahli Parlimen serta dirinya sebagai perdana menteri. - Agensi