Siklon Mocha: Ratusan Rohingya dilaporkan maut

Kanak-kanak menolak kereta tolak yang penuh dengan serpihan di kem pelarian Khaung Dote Khar Rohingya di Sittwe, di negeri Rakhine Myanmar pada Isnin selepas dilanda Siklon Mocha. - Foto AFP
Kanak-kanak menolak kereta tolak yang penuh dengan serpihan di kem pelarian Khaung Dote Khar Rohingya di Sittwe, di negeri Rakhine Myanmar pada Isnin selepas dilanda Siklon Mocha. - Foto AFP
A
A
A

DHAKA - Siklon Mocha yang membadai pada Ahad mengorbankan ratusan Rohingya di negeri Rakhine di barat Myanmar, memetik sumber.

"Saya mendapat maklumat daripada saudara-mara di kawasan itu bahawa 150 orang Rohingya dari dua kampung, Sittwe (ibu kota Rakhine) terbunuh akibat Taufan Mocha yang dahsyat," kata seorang pemimpin Rohingya, Mojib Ullah ketika dihubungi Agensi Anadolu pada Selasa.

Beliau berkata, angka kematian dikhuatiri meningkat berdasarkan maklumat yang diperoleh dari kawasan lain yang turut terjejas akibat siklon itu.

Siklon yang dikategorikan sebagai antara taufan terkuat itu, membadai pelabuhan maritim tenggara Bangladesh di Cox's Bazar dan negeri Rakhine Myanmar pada Ahad.

Ullah berkata, taufan itu turut merosakkan kem pelarian di Sittwe yang didiami hampir 140,000 Rohingya.

Seorang daripada mangsa yang terselamat berkata, beliau kesal dengan laporan media yang mengatakan hanya enam orang terkorban di Myanmar.

"Saya tidak dapat mengesahkan jumlah kematian sebenar. Setakat ini lebih seratus mayat daripada komuniti Rohingya ditemukan di Sittwe sahaja dan saya menjadi saksi. Masih ramai kanak-kanak dan warga emas hilang,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Belum ada pengesahan rasmi mengenai jumlah sebenar korban di Sittwe yang dikeluarkan oleh kerajaan Myanmar setakat ini. - Bernama/ Anadolu