Tindakan Ayob Khan tepat jika judi libat rasuah, bocor maklumat

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Hasbullah (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Hasbullah (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Pendekatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung 'tiada lagi amaran' terhadap ketua polis daerah bagi kegagalan menangani aktiviti perjudian adalah tepat jika melibatkan salah laku berkaitan rasuah dan pembocoran maklumat.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Perak, Dr Hasbullah Ashaari berkata, langkah yang diambil Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay itu disokong bagi membanteras judi haram.

"Namun, kemungkinan ketua polis daerah memerlukan masa untuk menyiasat dan menganalisis punca kegagalan menangani judi haram.

"Justeru jika tindakan diambil terus tanpa memberi masa dan peluang akan memberi kesan moral kepada pegawai-pegawai polis terbabit," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Hasbullah, segala tindakan diambil terhadap ketua polis daerah hendaklah berdasarkan maklumat yang tepat.

"Kesilapan dalam mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai polis itu akan merendahkan moral dan semangat mereka," tegasnya.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, tiada lagi amaran daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman terhadap ketua polis daerah yang didapati gagal menangani aktiviti perjudian dalam di daerah masing-masing.

Pengarahnya, Ayob Khan berkata, ketua polis daerah telah menandatangani aku janji untuk memastikan tiada aktiviti perjudian haram di daerah masing-masing.