Permohonan politeknik, kolej komuniti menurun

Azirin (kiri) mengiringi Muhamad Zaki (dua dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada Adam Nur (dua dari kanan).
Azirin (kiri) mengiringi Muhamad Zaki (dua dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada Adam Nur (dua dari kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - Permohonan kemasukan pelajar ke politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara menurun sebanyak 12.8 peratus pada tahun ini.

Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Azirin Abdul Aziz @ Nong berkata, jumlah permohonan diterima berkurangan kepada 80,000 pemohon berbanding 100,000 pada setiap dua kali pendaftaran dibuka tiap-tiap tahun sebelumnya.

“Tiada kajian khusus dibuat tetapi perkara ini dijangkakan sedikit sebanyak kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 yang menjejaskan sosioekonomi atau pendapatan keluarga.

“Tidaklah semua program menurun dan bidang-bidang yang terkesan antaranya kejuruteraan sementara kulinari pula antara yang menjadi pilihan hingga melebihi penawaran,” katanya ketika ditemui selepas Program Town Hall Cinta dan Air Mata Peringkat Kebangsaan 2023 di PCB Resort di sini pada Selasa.

Hadir merasmikan majlis itu ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun yang turut menyampaikan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Kelab Pembimbing Rakan Inspirasi Siswa dan Siswi Kolej Komuniti Kok Lanas sesi 2023 dipengerusikan Adam Nur Iman Muhammad Akram.

Azirin berkata, berkemungkinan pelajar lebih cenderung untuk terus bekerja dan tidak menyambung pengajian juga antara faktor yang tidak sepatutnya menjadi trend kerana boleh merugikan negara.

“Hasrat kerajaan menjadi sebuah negara maju perlu bermula dengan pendidikan sekurang-kurangnya di peringkat diploma.

“Kerajaan menawarkan bantuan kewangan bagi mengatasi masalah kewangan tetapi masih ada yang tidak mahu menyambung pengajian. Perkara ini membimbangkan jika menjadi trend atau berterusan,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai usaha dilakukan pihaknya dan kementerian untuk menarik minat pelajar menyambung pengajian peringkat diploma di politeknik dan kolej komuniti.

“Kita meneruskan promosi dan kementerian sendiri melaksanakan program seperti Jom Masuk U. Kebolehpasaran lepasan politeknik dan kolej komuniti sendiri lebih 90 peratus dan sepatutnya pelajar memanfaatkan peluang.

“Kekurangan calon kejuruteraan tidak mustahil akan menjejaskan bidang itu sendiri dalam jangka masa lima tahun akan datang,” ujar Azirin.