Bila lapar like, pertahanan negara pun sanggup dibuat lawak

Laporan Sinar Harian berhubung tindakan seorang TikTokers yang dipercayai 'menghina' aset TLDM di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Laporan Sinar Harian berhubung tindakan seorang TikTokers yang dipercayai 'menghina' aset TLDM di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
A
A
A

ISU selebriti dan pempengaruh memuat naik kandungan atau ‘konten sampah’ serta menyentuh sensitiviti masyarakat bukan perkara baharu.

Terbaharu perbuatan seorang TikTokers wanita memuat naik video ‘kentut’ di mikrofon kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu mendapat kecaman ramai.

Merak Jalanan jarang buka TikTok, maklum sahaja sentiasa sibuk dengan kerja dan sebab itulah tidak pernah dengar nama pempengaruh tersebut.

Sehinggalah kontroversi ini timbul, Merak Jalanan tergerak mencari akaun TikTok wanita berkenaan. Rupa-rupanya, wanita itu sudah mempunyai 2.6 juta pengikut dalam akaun TikTok.

Tapi, terus terang cakap, Merak Jalanan langsung tidak terhibur dengan ‘konten’ terbaharunya itu, sebaliknya marah dan kecewa dengan perbuatan biadab dilakukan.

Semata-mata nak dapat like, sanggup membuat ‘konten’ bodoh sehingga menghina pasukan tentera negara sendiri.

Umum mengetahui, aset ketenteraan negara tidak kira sama ada di darat, udara dan air merupakan maruah dan tunjang kepada kedaulatan negara. Pasukan keselamatan negara perlu dihormati dan jangan sesekali dipermainkan.

Walaupun pempengaruh tersebut sudah meminta maaf, itu pun menerusi TikTok sahaja, dan memadamkan video berkenaan, ia belum cukup untuk ‘membersihkan’ keterlanjuran dilakukannya.

Salah tetap salah dan tindakan undang-undang perlu diambil sebagai pengajaran.

Ada juga yang tanya bagaimana seorang TikTokers dengan sewenang-wenangnya boleh masuk dan membuat rakaman video di dalam kapal tentera tanpa sebarang pengawasan. Itu biarlah pihak TLDM sendiri melakukan siasatan.

Merak Jalanan mengesyorkan Kementerian Komunikasi dan Digital supaya tegas dan menyekat mana-mana kandungan video selebriti atau pempengaruh yang biadab.

Tak salah nak ber‘TikTok’ tetapi biarlah beradab.