Pengorbanan ketika Covid-19 berbaloi

Nurfaizah (tiga dari kiri) dan Muhammad Afiq Daniel Wee (tiga dari kanan) bersama rakan-rakan selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kelantan Kali Ke-9 pada Isnin.
Nurfaizah (tiga dari kiri) dan Muhammad Afiq Daniel Wee (tiga dari kanan) bersama rakan-rakan selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kelantan Kali Ke-9 pada Isnin.
A
A
A

JELI - Pengorbanan dan kesukaran Nurfaizah Rosdi, 22, menempuh sesi pembelajaran sepanjang negara diserang pandemik Covid-19 berbaloi apabila dipilih menerima Anugerah Pengarah sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kali Ke-9 pada Isnin.

Graduan Diploma Akuakultur itu mengakui bangga dengan dirinya yang selama ini berpenat lelah belajar walaupun terpaksa melalui detik sukar.

Menurut Nurfaizah, dalam tempoh Covid-19, dia yang berada di semester tiga memilih untuk belajar di kampus kerana masalah internet di kampungnya di Jempol, Negeri Sembilan.

"Di sini (Kelantan) juga sukar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan individu untuk menaiki bas, makan di kafeteria serta berada di lokasi lain.

"Jadi kami terpaksa belajar sendiri dalam suasana yang belum pernah dihadapi sebelum ini. Semua pelajar bergerak dengan perasaan kebimbangan," katanya.

Nurfaizah ditemui selepas menerima anugerah berkenaan sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kelantan Kali Ke-9 pada Isnin.

Tugasnya menjadi lebih berat apabila turut memikul tanggungjawab dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) namun katanya semua itu bukan halangan kerana pihak pengurusan dan pensyarah sentiasa memberi sokongan dan maklumat.

Nurfaizah turut berkongsi kesungguhannya dengan menaiki kereta api seorang diri dari Kemayan untuk ke Tanah Merah sebelum mencari kenderaan ke kampus.

"Bagaimanapun syukur kerana semua itu menjadikan semangat saya lebih kental untuk terus belajar sendirian kira-kira tiga bulan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Afiq Daniel Wee Muhammad Wee, 22, yang dinobatkan anugerah sama menjadikan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk lebih berjaya.

Katanya, keluarganya tidak menyangka 'kekurangan' itu boleh mengubah kembali pendidikannya menjadi yang terbaik.

"Jika sebelum ini mungkin saya tidak serius dalam pelajaran tetapi sokongan kedua ibu bapa menjadikan saya lebih bersemangat untuk belajar," katanya.

Muhammad Afiq memberitahu, pilihan kursus juga penting kerana perlu berdasarkan minat untuk berjaya.

"Saya memang meminati bidang akuakultur dan insya-ALLAH akan menyambung ijazah sarjana muda dalam bidang sama di universiti tempatan," katanya.