Nur Syazwani tebus kecewa kem angkat berat

Nur Syazwani menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori 64kg angkat berat wanita di Phnom Penh pada Isnin. Foto Facebook Majlis Sukan Negara.
Nur Syazwani menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori 64kg angkat berat wanita di Phnom Penh pada Isnin. Foto Facebook Majlis Sukan Negara.
A
A
A

SKUAD angkat berat negara boleh menarik nafas lega apabila berjaya menepati sasaran meraih satu pingat gangsa dalam acara berkenaan pada Sukan SEA Kemboja 2023 pada Isnin.

Atlet muda, Nur Syazwani Radzi menghadiahkan pingat gangsa itu dalam kategori 64 kilogram (kg) wanita pada hari terakhir acara angkat berat dipertandingkan di Dewan Taekwondo Olimpik di Phnom Penh.

Pencapaian itu sekali gus menebus kekecewaan kem angkat berat negara apabila badang negara Muhammad Erry Hidayat yang menjadi sandaran membawa pulang satu gangsa pada temasya kali ini tidak berjaya berbuat demikian selepas gagal menamatkan saingan dalam kategori 73kg lelaki pada Ahad.

Atlet berusia 20 tahun itu yang membuat penampilan pertama pada temasya di sini, melakukan angkatan keseluruhan 184kg dengan mencatat 80kg bagi snatch dan 104 untuk clean and jerk.

Pingat emas acara berkenaan menjadi milik wakil Indonesia Tsabitha Alfiah Ramadani yang melakukan jumlah angkatan keseluruhan 204kg (snatch 97kg, clean and jerk 107kg) manakala peserta Vietnam Thi Thu Uyen Dinh membawa pulang perak dengan catatan 194kg (snatch 96kg, clean and jerk 98kg).

Nur Syazwani berkata, ketika beraksi dalam kategori snatch, dia cuba mengerahkan seluruh tenaga bagi melakukan angkatan seberat 104kg bagi memastikan dapat meraih pingat gangsa.

“Sebelum giliran saya, atlet dari Indonesia dan Vietnam melakukan angkatan mereka. Saya rasa perlu melakukan angkatan lebih baik jika mahu bawa pulang pingat.

“Saya gembira dapat lakukan angkatan sempurna...jika diikutkan catatan terbaik pernah saya lakukan dalam snatch adalah 106kg,” katanya yang berasal dari Bukit Pinang, Kedah.

Sebelum ini, PABM menyasarkan skuad negara dapat membawa pulang satu pingat gangsa menerusi Muhammad Erry.

Ia berikutan, dua lagi jaguh angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan tidak menyertai temasya di Kemboja kerana mereka perlu menyertai kejohanan lain yang menjanjikan kutipan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024. - Bernama