'Tak akan hormat pandangan peribadi Annuar' - Zahid

Ahmad Zahid berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - "Saya tak akan hormat pandangan peribadinya," kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa mengenai UMNO bakal ditolak rakyat pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga turut membidas kenyataan yang dipercayai merujuk kepada Annuar berhubung soal kehadiran parti yang sebelum ini pernah bermusuhan dengan UMNO ke Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

"Ia menjawab pelbagai tohmahan menyatakan ada parti sangat 'alergik' UMNO dan Barisan Nasional suatu ketika dahulu dapat berucap di Dewan Merdeka semalam dan ada pemimpin serta juga mantan ahli UMNO merasakan tidak sepatutnya pemimpin parti itu berucap kononnya meluncuri semangat nasionalisme.

"Hakikat politik bahawa kita harus melihat dari segi dinamika. Jadi, dinamika itu bukan mahu fokus sesebuah parti atau seseorang tokoh tapi sebenarnya kemajmukan tersebut harus diakui sebagai sesuatu tak boleh dielakkan dan disantuni.

"Kita mahu negara ini menjadi progresif dan mempunyai kestabilan politik yang baik malah pada masa sama pertumbuhan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya mesti menjadi matlamat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Jamuan Hari Raya Majlis Profesor Negara 2023 di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Annuar mendakwa UMNO bakal ditolak rakyat pada PRN dan PRU akan datang

Menurut Annuar, ia kerana sokongan rakyat diberikan khususnya ketika UMNO bersama Pas, bukan DAP.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, seperti pantun diucapkannya pada konvensyen semalam iaitu 'lawan tetap lawan, 'dulu lawan sekarang kawan, buat apa kita berlawan', 'kita perkukuhkan Kerajaan Perpaduan' adalah mempunyai maksudnya tersendiri.

"Sebab saya mendalami sampai bila kita nak berlawan dan sampai bila kita nak berbeza pendapat. Kalau semua orang sepenuhnya mahu memperjuangkan rakyat dan negara maka lupakan 'politiking'.

"Kita sama-sama membina negara ini semula. Jadi itulah keadaan yang terbaik," jelasnya.