Sepak takraw dunia sedih kehilangan Adnan

Allahyarham Adnan - Foto Agensi
Allahyarham Adnan - Foto Agensi
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda sepak takraw Malaysia, Adnan Saidin yang meninggal dunia pada Isnin.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, Adnan yang dikenali sebagai Raja Libas, seorang pemain luar biasa yang menakluki perlawanan pada 1980-an.

Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) berkata Adnan memukau dunia sepak takraw selama sedekad dan memberi sumbangan besar kepada sukan itu.

"Sebagai sebuah pertubuhan sukan antarabangsa, kami mengiktiraf dan menghargai pencapaian penting Allahyarham dalam sepak takraw, dan kami amat sedih dengan kehilangannya. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, sahabat Adnan dan seluruh komuniti sukan.

"Kami mendoakan ALLAH SWT mengurniakan beliau tempat di syurga dan dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan abadi. Semasa waktu sukar ini, kami mendoakan agar ALLAH SWT memberi kekuatan dan ketabahan kepada insan tersayang atas kehilangan ini. Doa dan ingatan kami bersama mereka," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Adnan meninggal dunia pada pukul 6 pagi Isnin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada usia 66 tahun.

Anaknya Mohd Faizal Adnan, 38, berkata, Allahyarham bapanya itu mula dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta sejak seminggu lepas kerana disyaki menghidap tibi, sebelum dirujuk ke HSB semalam kerana mengalami masalah pada jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Sementara itu, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Sama-samalah doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Perginya beliau tiada galang ganti sebagai Raja Libas Asia. Banyak mengharumkan nama dan berjasa kepada negara," menurut PSM dalam hantaran di Facebook.

Mula bermain sepak takraw pada usia 10 tahun, anak kelahiran Alor Setar itu mewakili Kedah dan Malaysia dari 1976 hingga 1986, dan libasan mautnya bukan hanya mencederakan pihak lawan, malah rakan sepasukan dan penonton turut terkena tempias beberapa kali.

Adnan yang memenangi tiga pingat emas Sukan SEA berturut-turut di Jakarta pada 1979, Manila 1981 dan Singapura 1983, dinobatkan sebagai juara Kejohanan Asia pada 1984 dan Piala Raja Thailand pada 1985.

Beliau turut dianugerahkan Pemain Terbaik Asia pada 1984 dan Raja Sepak Takraw dalam Kejohanan Regu Asia MAS/Utusan/RTM di Kuala Lumpur pada 1986. - Bernama