Malaysia di landasan pertumbuhan KDNK 4 hingga 5 peratus

Nor Shamsiah - Foto Bernama
Nor Shamsiah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berada di landasan tepat dalam usaha mencapai sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pertumbuhan itu akan didorong terutamanya oleh permintaan domestik yang kukuh dalam persekitaran global yang mencabar.

"Risiko terhadap pertumbuhan itu juga kelihatan seimbang. Risiko penurunan pula berpunca terutamanya daripada aspek perkembangan luaran manakala risiko peningkatan faktor domestik disumbangkan oleh aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan awal serta pelaksanaan projek-projek," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi KDNK bagi suku pertama tahun ini di sini pada Jumaat.

Nor Shamsiah berkata, walaupun ekonomi tumbuh lebih baik daripada dijangkakan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023, BNM sebaliknya tidak akan membuat sebarang semakan semula atau mengubah sasaran terbabit, setakat ini.

Malah, bank pusat itu akan mengekalkan sasaran inflasi bagi 2023 memandangkan inflasi keseluruhan dan teras berkemungkinan besar menyederhana pada 2023 walaupun kekal tinggi daripada paras sebelum pandemik dengan purata pada 2.8 peratus hingga 3.8 peratus tahun ini.

"Biarpun tekanan telah mereda sejajar dengan harga komoditi global, inflasi keseluruhan akan kekal pada paras tinggi berikutan keadaan permintaan yang kukuh serta peningkatan berterusan dalam pasaran tenaga kerja,” katanya.

Jelas beliau, prospek inflasi juga menyumbang kepada rasionalisasi subsidi secara beransur-ansur, khususnya dalam semakan semula surcaj elektrik untuk peserta industri terpilih.

Bagi tempoh suku pertama, inflasi keseluruhan bergerak dalam aliran menurun kepada 3.4 peratus dan seiring dengan keadaan kos dan bekalan yang menyederhana, manakala inflasi teras berkurangan kepada 3.8 peratus namun kekal tinggi dan mencerminkan permintaan domestik yang berdaya tahan.

Sementara itu, mengulas sama ada beliau berminat dari segi lanjutan kontraknya sebagai gabenor yang tamat pada bulan depan, Nor Shamsiah berkata, satu pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

"Kesempatan untuk berkhidmat kepada negara adalah satu tanggungjawab serta keistimewaan. Jadi biarlah (perbincangan ini dibiarkan) sebegitu,” katanya.

Beliau dilantik sebagai gabenor bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa pada 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2023, selepas mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Nor Shamsiah pernah berkhidmat sebagai timbalan gabenor bagi tempoh 2010 hingga 2016. - Bernama