Polis terima 867 laporan kenyataan pendakwah berbaur penghinaan

Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak 867 laporan berhubung kenyataan pendakwah bebas yang didakwa berbaur penghinaan kepada agama Hindu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Kes ini akan disiasat oleh pihak Bukit Aman selepas pendakwah itu ditahan di Arau, Perlis.

"Setakat pagi ini, saya dimaklumkan sebanyak 867 laporan telah dibuat oleh pelbagai pihak terhadap pendakwah itu yang kini masih dalam tempoh reman. Kita juga tidak menolak kemungkinan jumlah laporan polis ini akan meningkat," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Terdahulu, pendakwah bebas berusia 34 tahun itu telah ditahan di Arau, Perlis, semalam dan direman empat hari sehingga Rabu ini. Lelaki itu akan disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ia berkaitan video penceramah tersebut yang dimuat naik dalam laman sosial YouTube, Info Sunnah Kelantan.

Dalam pada itu, polis juga sedang mengesan pemilik akaun laman sosial Youtube itu bagi membantu proses siasatan.

Orang ramai dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi untuk memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini.

Artikel Berkaitan: