Pembahagian kuasa Persekutuan dan negeri-negeri

A
A
A

KITA semua tahu bahawa Malaysia adalah sebuah Persekutuan. Namun, mungkin tidak ramai yang tahu tentang pembahagian kuasa perundangan dan eksekutif di antara Pusat dan negeri-negeri.

Di peringkat Pusat, institusi yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang bagi seluruh Malaysia adalah badan perundangan iaitu Parlimen dan institusi yang mentadbir negara mengikut undang-undang adalah Kerajaan Persekutuan.

Pada masa sama, setiap 13 negeri di Malaysia mempunyai badan perundangan - Dewan Undangan Negeri (DUN)) dan kerajaan negeri tersendiri. DUN mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi negerinya manakala kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mentadbir negeri mengikut undang-undang tersebut.

Dalam kerangka negara juga, mahkamah mempunyai peranan mentafsirkan undang-undang Persekutuan dan negeri. Setiap negeri punya Mahkamah Syariah tersendiri untuk memutuskan makna undang-undang syariah. Namun begitu, semua undang-undang harus konsisten dengan Perlembagaan.

Perlembagaan Persekutuan membahagikan kuasa untuk menggubal undang-undang di antara Parlimen dan DUN. Ini bermakna Perlembagaan menyatakan jenis undang-undang yang boleh digubal oleh Parlimen dan jenis undang-undang yang boleh digubal oleh DUN.

Terdapat tiga senarai dalam Perlembagaan. 'Senarai Persekutuan' menyenaraikan perkara-perkara yang terletak di bawah kuasa Parlimen. 'Senarai Negeri' menyenaraikan perkara-perkara yang terletak di bawah kuasa DUN. 'Senarai Bersama' menyenaraikan perkara-perkara yang Parlimen dan DUN boleh gubal undang-undang.

Antara perkara yang tersenarai di bawah Senarai Persekutuan ialah hubungan luar seperti perjanjian antarabangsa, pertahanan, keselamatan dalam negeri, undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah termasuk bidang kuasa dan kuasa mahkamah (kecuali Mahkamah Syariah negeri), rahsia rasmi, undang-undang Islam dan peribadi yang lain bagi tujuan undang-undang Persekutuan dan kewarganegaraan Malaysia.

Ia juga termasuk perkara seperti kewangan, perdagangan dan perindustrian termasuk import dan eksport, perkapalan termasuk pelabuhan, perhubungan dan pengangkutan, pendidikan, perubatan dan kesihatan, kebajikan orang asli, pelancongan, buruh dan keselamatan sosial.

Artikel Berkaitan:

Bagi Senarai Negeri pula, ia termasuk undang-undang Islam dan undang-undang peribadi dan keluarga bagi individu yang menganut agama Islam, mewujudkan Mahkamah Syariah, tanah, pertanian dan hutan, kerajaan tempatan, pihak berkuasa tempatan, pemilihan kerajaan tempatan, pasar dan pelesenan teater, pawagam dan tempat-tempat hiburan awam, kerja raya negeri dan air (kecuali pembekalan dan perkhidmatan air) serta cuti negeri.

Senarai Bersama membenarkan Parlimen dan DUN menggubal undang-undang untuk perkara yang sama. Asalkan undang-undang tersebut tidak berlapik atau bercanggah, ia boleh terus wujud dan beroperasi bersama.

Tetapi, sekiranya ada percanggahan bagi perkara bawah senarai tersebut, undang-undang Parlimen menjadi undang-undang yang harus dipatuhi.

Senarai Bersama ini termasuk kebajikan awam, biasiswa, perlindungan haiwan liar dan taman-taman negara, perancangan bandar dan luar bandar, kesihatan awam, perparitan dan irigasi, budaya dan sukan serta perumahan dan peruntukan kemudahan perumahan.

Secara amnya, jika sesuatu perkara itu dalam Senarai Negeri, Parlimen tidak boleh gubal undang-undang mengenainya. Tetapi, ada situasi di mana Parlimen boleh gubal undang-undang berkenaan dengan perkara dalam Senarai Negeri. Situasi-situasi tersebut termasuklah sekiranya ada pengisytiharan darurat atau penyelarasan undang-undang negeri.

Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif ke atas semua perkara yang Parlimen boleh gubal undang-undang. Kerajaan-kerajaan negeri mempunyai kuasa eksekutif ke atas semua perkara yang DUN boleh gubal undang-undang.

Adalah penting untuk kita mengetahui tentang pembahagian kuasa ini kerana ia mungkin membawa kesan kepada kita sebagai rakyat Malaysia dan rakyat salah satu daripada negeri-negeri tersebut.

* Syahredzan Johan ialah seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur