PRN: Gerakan laskar siber kerajaan diarah masuk 'gear enam'

Pengundi tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerayong, Pahang sempena PRU15 pada 19 November 2022. - Foto fail Bernama
Pengundi tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerayong, Pahang sempena PRU15 pada 19 November 2022. - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kumpulan laskar siber Kerajaan Perpaduan digesa supaya memperkukuhkan 'kerjasama' dalam skala yang lebih besar sebagai persediaan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Memetik laporan Malaysiakini, gesaan itu dibuat Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah ketika berucap pada Majlis Silaturrahim Laskar Siber Kerajaan Perpaduan di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Tunku Nashrul dalam masa sama turut meminta setiausaha akhbar (SUA) bagi setiap kementerian menjalinkan kerjasama dengan kumpulan laskar siber kerajaan pimpinan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

"Pesan saya kepada mereka (SUA) ialah untuk lakukan 'engagement' dengan laskar siber ini dengan lebih berskala besar kerana kita akan menghadapi PRN di enam negeri selepas ini.

"Tak boleh dah 'gear low' ni, kena 'gear lima', 'gear enam' untuk pastikan inisiatif Kerajaan Perpaduan dan untuk pastikan enam negeri nanti kita mampu lakukan yang terbaik.

"Saya menjemput abang dan kakak laskar siber semua ini untuk sama-sama membantu kami, membantu saya dengan memberi pandangan, input kalian cukup bermakna," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Pertemuan ini kali pertama diadakan selepas Pakatan Harapan (PH) dan BN membentuk Kerajaan Perpaduan.

Gabungan ini memberi tumpuan kepada laskar siber dipercayai selepas melihat sokongan yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam usaha menarik sokongan pengundi dengan menggunakan media sosial.

PN dilaporkan telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menguasai media sosial khsususnya TikTok bagi menarik sokongan pengundi muda.