Paras empangan kebanyakan negeri stabil, Pulau Pinang susut

Kapasiti tadahan air di Empangan Teluk Bahang semakin berkurangan berikutan musim kemarau yang melanda negara ketika ini. - Foto Bernama
Kapasiti tadahan air di Empangan Teluk Bahang semakin berkurangan berikutan musim kemarau yang melanda negara ketika ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekalan air masih terkawal di kebanyakan negeri memandangkan paras empangan dan sungai masih tinggi melebihi 90 peratus, namun terkesan di beberapa kawasan melibatkan Kelantan dan utara tanah air susulan situasi panas berpanjangan.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), paras empangan bagi Perlis dan Kedah masih stabil dan terkawal manakala Pulau Pinang, mengalami pengurangan di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

"Paras semasa Empangan Air Itam hanya mampu bertahan untuk tempoh 40 hari (paras empangan semasa iaitu 41.5 peratus), Empangan Teluk Bahang pula untuk tempoh 145 hari (paras empangan semasa, 48.4 peratus) susulan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.

"Namun begitu, bekalan air kepada pengguna tidak terjejas dan masih disalurkan seperti biasa. Bagi paras Empangan Mengkuang yang membekalkan sumber air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, masih dalam keadaan stabil dan berupaya untuk membekalkan secara purata pengeluaran sebanyak 1,200 juta liter sehari (JLH) bagi menampung keperluan anggaran 40 peratus agihan ke bahagian pulau dan baki selebihnya ke kawasan Seberang Perai.

"Kawasan yang berada di hujung rangkaian bekalan air dijangka mengalami masalah tekanan rendah manakala situasi semasa di Perak menunjukkan paras empangan dan agihan bekalan air yang stabil dan terkawal," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah SPAN, bagi perkhidmatan bekalan air untuk Wilayah Tengah seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, keseluruhan tujuh empangan dan tiga sungai utama di Selangor merekodkan paras empangan dan sungai melebihi 90 peratus.

Ujarnya, ia membolehkan kesemua 34 LRA dapat beroperasi dengan kapasiti normal.

"Bagaimanapun, sehingga 9 Mei lalu, simpanan air mentah di Kolam Takungan Hilir (ORS) berada pada tahap tinggi dan kerajaan negeri akan terus memantau situasi tersebut dari masa ke masa," jelasnya.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi perkhidmatan bekalan air di Wilayah Timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang, kesemua empangan dan sungai berada pada paras yang stabil.

Katanya, kesemua LRA beroperasi dengan kapasiti normal kecuali LRA Kelar di Kelantan yang menurun disebabkan penyusutan sumber air mentah.

"Sementara itu, kesemua empangan dan sungai di Wilayah Selatan seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka berada pada paras yang stabil serta kesemua LRA dapat beroperasi dengan kapasiti normal," ujarnya.