Persijilan halal untuk menu baharu dipercepatkan - Jakim

Hakimah (tengah) menunjukkan aplikasi barangan Halal pada Program Celik Halal Malaysia Bersama Imam Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 pada Rabu. - Foto: Bernama
Hakimah (tengah) menunjukkan aplikasi barangan Halal pada Program Celik Halal Malaysia Bersama Imam Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Pengeluaran sijil halal bagi menu baharu yang dibangunkan oleh pengusaha atau pengeluar produk makanan yang telah memiliki sijil berkenaan akan dipercepatkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, Jakim dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sedang dalam perancangan menambah baik prosedur permohonan pensijilan halal termasuk meneliti kaedah mempercepatkan sijil halal bagi permohonan menu baharu.



"Biasanya pengusaha premis atau pengeluar produk makanan yang mohon sijil halal untuk produk baharu ini sudah ada sijil halal.



"Mereka akan guna bahan atau ramuan sama dalam menu baharu, jadi permohonan seumpama ini kita akan cuba percepat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Celik Halal Bersama Imam Peringkat Kebangsaan 2023 di sini pada Rabu.

Hakimah berkata, sebarang kaedah baharu yang akan diputuskan kelak tidak akan berkompromi dengan prosedur permohonan sijil halal sedia ada yang mematuhi kehendak syariah dan standard antarabangsa ISO/IEC 17065.

Pada 23 Mac lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Mesyuarat Majlis Halal Malaysia bersetuju bahawa suatu mekanisma atau proses baharu perlu dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal.

Jakim telah diiktiraf sebagai badan pensijilan halal pertama di negara ini apabila memperoleh kelulusan akreditasi ISO/IEC 17065 pada 10 Okt 2020 selepas menjalani beberapa peringkat penilaian yang ketat oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia).

Sementara itu, Hakimah berkata, Program Celik Halal Bersama Imam Peringkat Kebangsaan 2023 diadakan bagi menyalurkan maklumat berkaitan isu halal kepada golongan berkenaan yang sering menjadi rujukan masyarakat di kawasan masing-masing dalam hal ehwal berkaitan agama.

"Penyebaran kenyataan sahih dan tepat daripada golongan imam menjadi faktor kepada sesuatu berita atau maklumat (berkaitan isu halal) mudah diterima masyarakat khususnya umat Islam. Saya melihat fungsi masjid dapat dijadikan pusat sehenti untuk masyarakat setempat mendapatkan maklumat berkaitan halal,” katanya.

Menyifatkan golongan imam sebagai duta Jakim, beliau berkata peranan golongan itu dapat membantu menangani penyebaran maklumat dan berita palsu berkaitan isu halal di media sosial. - Bernama