'Ada penduduk cari pendapatan jadi penyeludup'

Pasukan keselamatan sentiasa memantau keadaan di Sungai Golok bagi mengelakkan jenayah termasuk penyeludupan.
Pasukan keselamatan sentiasa memantau keadaan di Sungai Golok bagi mengelakkan jenayah termasuk penyeludupan.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia tidak menafikan ada penduduk Rantau Panjang yang menjadikan aktiviti penyeludupan sebagai mata pencarian harian mereka.

Pengarahnya, Wan Jamal Wan Abdul Salam Wan Long berkata, namun jumlahnya semakin berkurangan kerana kekerapan pemantauan oleh agensi penguatkuasaan.

Menurut beliau, hasil risikan dan kes yang diperolehi, aktiviti penyeludupan kini berlaku dalam skala yang agak kecil.

"Kastam Kelantan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan pemantauan di sepanjang sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

"Kita tidak akan berkrompomi dengan aktiviti penyeludupan dan sudah mengambil tindakan mengikut undang-undang ke atas pesalah," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media tempatan berhubung dakwaan penduduk di sekitar Sungai Golok yang memilih untuk bekerja sebagai penyeludup secara turun termurun hingga tiga generasi dan mengambil upah sehingga RM200 sehari.

Wan Jamal memberitahu, Rantau Panjang bersempadan dengan Thailand dan dipisahkan oleh Sungai Golok sepanjang 103 kilometer.

Katanya, terdapat tiga laluan keluar masuk yang sah di antara kedua-dua negara iaitu, Bukit Bunga, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.

"Bagaimanapun, sepanjang Sungai Golok terdapat lebih 140 pengkalan haram bagi penduduk kedua-dua negara berulang-alik dan kebanyakannya mempunyai pertalian kekeluargaan.

"Penduduk yang mendiami sepanjang Sungai Golok juga kebanyakannya pemilik asal tanah tersebut dan banyak binaan melibatkan tanah persendirian sekali gus menyukarkan agensi melakukan serbuan dan pemantauan," katanya.

Tambah beliau, kawalan di sepanjang Sungai Golok telah dilakukan oleh beberapa agensi yang terlibat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan AM (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas beliau, Kastam melalui Bahagian Penguatkuasaan sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa secara berjadual.

"Situasi penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand, terutamanya bagi negeri sempadan secara geografinya bersempadan dengan negara Thailand seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

"Bagaimanapun, penyeludupan di Kelantan agak berbeza dengan negeri lain kerana kedudukan geografinya hanya dipisahkan dengan Sungai Golok yang sempit dan menjadi penempatan penduduk di antara kedua-dua negara," katanya.

Kastam juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.