Peluang rakyat lebih berdaya saing dengan rangkaian 5G

A
A
A

Rangkaian 5G di negara kita dijamin terus berkembang maju serta berdaya saing.
Rangkaian 5G di negara kita dijamin terus berkembang maju serta berdaya saing.

SHAH ALAM - Seiring dengan aspirasi negara untuk mewujudkan masyarakat yang maju dan terangkum, kerajaan akan terus memastikan pembangunan rangkaian 5G berjalan lancar supaya Malaysia kekal berdaya saing khususnya dalam kalangan negara ASEAN.

Pendekatan ini dilaksanakan demi membolehkan rakyat dan negara sentiasa bersedia dalam menuju prospek ekonomi global pada masa hadapan.

5G merupakan teknologi sambungan tanpa wayar generasi kelima. Ia adalah lanjutan daripada generasi sebelumnya iaitu daripada 1G kepada 4G.

Pada zaman teknologi 1G dan 2G, sambungan dibuat bagi tujuan menyampaikan perkhidmatan suara, diikuti dengan 3G untuk sambungan data mudah alih, manakala teknologi 4G dibangunkan untuk Internet mudah alih.

Teknologi 5G pula mempunyai keupayaan untuk mengubah fungsi teknologi mudah alih kepada masyarakat.

Antara kecekapan yang telah terbukti bagi rangkaian 5G adalah berkelajuan tinggi pada kadar 10 hingga 100 kali ganda, kadar lengahan hanya serendah satu milisaat selain mampu menghubungkan sejuta peranti pada keluasan satu kilometer persegi.

Perluasan rangkaian 5G dalam menyokong ekonomi digital telah mencetuskan pelbagai peluang baharu kepada Malaysia terutama dalam mempercepatkan kesalinghubungan di seluruh negara dan memudahkan usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi melalui transformasi digital.

Pelaksanaan rangkaian 5G bermula pada suku keempat 2021 menggunakan pendekatan Rangkaian Borong Tunggal (SWN) menerusi Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah syarikat milik penuh kerajaan.

Setakat Mac 2023, usaha pembangunan rangkaian 5G ini telah mencapai 57.8 peratus populasi di kawasan berpenduduk dengan 4,634 tapak 5G telah siap dibangunkan di seluruh negara.

Inisiatif ini meletakkan Malaysia pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran 80 peratus liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun 2023.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan meneruskan pemantauan kawal selia ke atas DNB agar sasaran 80 peratus liputan populasi dalam kawasan berpenduduk dapat dicapai.

Ini akan memastikan peralihan kepada dwirangkaian sejurus liputan 5G melangkaui 80 peratus dapat dijayakan mengikut lunas perundangan serta rangka kawal selia yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Peralihan ini bagi menjamin rangkaian 5G negara terus berkembang maju serta berdaya saing.

FAHMI
FAHMI

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan DNB serta pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur.

“Kerajaan telah memutuskan untuk dwirangkaian diwujudkan dengan entiti yang bakal ditentukan, selepas 80 peratus liputan kawasan berpenduduk dicapai.

“Selaras dengan prinsip utama yang digariskan dalam ucapan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, peralihan ini dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada pada kadar yang berpatutan untuk rakyat,” katanya.

Fahmi berkata, peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berpandukan syarat-syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.

“(Kepelbagaian rangkaian) bukan sahaja untuk rakyat, malah juga untuk sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.

“Keputusan ini dibuat dengan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, model dwirangkaian itu turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia, sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB.

“Kos pembangunan rangkaian kedua 5G melalui entiti baharu masih pada peringkat awal dan kementerian akan bertemu semua pihak berkepentingan, termasuk penyedia rangkaian bagi memuktamadkan perkara itu,” ujarnya.