Peminjam gagal bayar hutang diupah along buat khianat

Mohd Shuhaily menunjukkan suspek yang ditahan untuk membantu siasatan pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang Georgetown pada Isnin.
Mohd Shuhaily menunjukkan suspek yang ditahan untuk membantu siasatan pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang Georgetown pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Empat suspek termasuk dua wanita warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung tiga kes kereta disimbah cat dan dibakar di Seberang Perai Tengah dan Timur Laut pada 30 April lalu.

Dua suspek lelaki merupakan penghutang yang meminjam wang along dari Singapura dipaksa untuk melakukan kerja terkutuk itu kerana gagal untuk melangsaikan hutang mereka.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan keempat-empat suspek berusia lingkungan 22 hingga 33 tahun dibuat selepas polis menerima tiga laporan berhubung kejadian kebakaran kereta.

Menurutnya, laporan pertama yang diterima adalah daripada seorang wanita berusia 40 tahun pada jam 4.30 pagi, 30 April lalu.

"Wanita itu melaporkan kereta Perodua Kelisa anaknya telah dibakar oleh individu tidak dikenali. Polis turut menerima dua lagi laporan yang seakan sama iaitu satu di Bukit Minyak dan Air Itam.

"Kejadian berlaku pada hari sama antara jam 4 hingga 7.30 pagi. Jumlah kerugian dalam ketiga-tiga kes adalah RM40,000 dengan melibatkan Perodua Kelisa, Perodua Alza dan Perodua Myvi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Tambah beliau, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek menggunakan kereta Toyota Yaris berwarna merah.

"Hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang, dua suspek iaitu lelaki dan teman wanitanya ditahan di tepi Jalan Kuala Kangsar, Ipoh pada jam 12.05 tengah malam, 4 Mei lalu. Ketika ditahan, kedua-duanya sedang tidur di dalam kereta tersebut.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menemui pemetik api, pen, rantai kunci rumah dan beberapa keping resit bukti pembelian petrol di stesen minyak.

"Hasil siasatan dilakukan ke atas kedua-dua suspek, kita berjaya menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, Ulu Kinta pada jam 6.10 pagi, hari sama," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menahan seorang lagi suspek iaitu wanita berusia 33 tahun di sebuah rumah di Kampung Simee, Ipoh pada jam 1.15 petang, 6 Mei lalu.

"Siasatan lanjut mendapati, dua suspek lelaki merupakan penghutang along dari negara jiran yang gagal untuk melangsaikan hutang mereka. Mereka dijanjikan pengurangan hutang tertunggak sekiranya melakukan ugutan dengan menyimbah cat dan bakar kereta milik penghutang lain.

"Selain itu, suspek pertama juga diberi upah sebanyak RM700 melalui kaedah tambah nilai Touch N Go E-Wallet sebelum diagihkan separuh kepada suspek ketiga.

"Siasatan juga mendapati, wanita yang membuat laporan pertama bagi kes ini juga telah berhutang dengan along dari negara jiran menyebabkan kereta anaknya telah dibakar suspek. Wanita tersebut juga bekerja di negara jiran," katanya.

Kata Mohd Shuhaily, kesemua penghutang termasuk dua suspek lelaki membuat pinjaman dalam lingkungan RM1,000 hingga RM2,000.

Beliau menambah, keempat-empat suspek aktif melakukan jenayah ini sejak pertengahan Mac tahun ini.

"Mereka menumpukan di sekitar kawasan utara iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Suspek pertama dan ketiga mengaku menerima arahan terus daripada seorang ejen along dari Singapura untuk melakukan perbuatan khianat dengan api ke atas rumah dan kereta peminjam.

"Teman wanita suspek pertama berperanan menyemak alamat penghutang dalam laman sesawang Google Maps.

"Sementara itu, suspek keempat iaitu seorang wanita berperanan untuk menguruskan hal sewa kereta dan mendapatkan peralatan cat untuk tujuan khianat," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, kedua-dua suspek lelaki mempunyai tiga dan enam rekod jenayah manakala dua suspek wanita tiada rekod.

"Dengan penahanan suspek, kita berjaya menyelesaikan tiga kes kejadian simbah cat dan khianat dengan api di Pulau Pinang, dua di Perak dan dua di Kedah.

"Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti kes-kes lain yang dilakukan sindiket ini. Suspek pertama, kedua dan ketiga direman tujuh hari manakala suspek keempat direman empat hari iaitu sehingga 10 Mei," katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.