Hisyam Teh Poh Teik ketuai pembelaan Siti Bainun

Siti Bainun, Hisyam Teh Poh Teik
Siti Bainun, Hisyam Teh Poh Teik
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi kes mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella.

Peguam, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor berkata demikian ketika pengurusan kes prosiding permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman 12 tahun penjara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Ahmad Bache.

“Saya dan seorang lagi peguam, iaitu Mohammad Farhan Maaruf akan bekerjasama dengan Hisyam dalam rayuan itu kelak,” katanya.

Untuk rekod, Hisyam merupakan peguam dalam rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau turut membela Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Hisyam juga merupakan peguam dalam rayuan akhir kerani, Sam Ke Ting yang dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian lapan remaja penunggang basikal lajak di Johor Bahru, pada 2017.

Dalam pada itu, Nur A’minahtul memaklumkan, satu perakuan segera telah difailkan bersama afidavit tersebut.

“Kami mohon agar permohonan ini didengar dengan segera kerana Siti Bainun mempunyai masalah kesihatan dan saya akan lampirkan dokumen perubatan berhubung isu itu,” katanya.

Sementara itu, peguam, Ahmad Faiz Munawar yang turut mewakili Siti Bainun berkata, pihak pembelaan telah memfailkan afidavit untuk menangguhkan sabitan hukuman, yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

“Kami mohon mahkamah menetapkan prosiding pendengaran itu dibuat pada tarikh singkat, selewat-lewatnya minggu depan,” katanya.

Menurut afidavit sokongan difailkan, antara alasan permohonan itu dibuat ialah, Siti Bainun mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit hempedu.

Siti Bainun juga perlu menanggung ibunya yang tua dan sakit selain dia memerlukan perhatian serta rawatan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas berkata, pendakwaan telah menerima afidavit berkenaan pada Jumaat lalu, maka beliau memohon tempoh 14 hari untuk menjawabnya.

“Selain saya, pihak pendakawaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aziah Mohamad, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias.

“Bagaimanapun, mereka mempunyai tugas masing-masing dan kami memerlukan masa untuk berbincang sebelum menjawab afidivit tersebut,” katanya.

Selepas hujahan berkenaan, Ahmad Bache meminta pihak pendakwaan untuk menjawab afidiavit tersebut dalam tempoh 10 hari dan menetapkan 18 Mei ini untuk mendengar permohonan itu.

Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan mengabai dan 12 tahun untuk pertuduhan menganiaya Bella.

Bagaimanapun, Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula Rabu lalu.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM5,000.

Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Sementara itu, Siti Bainun dilihat melambai tangan sambil membuat 'fying kiss' kepada ibu dan ahli keluarga yang hadir pada prosiding itu.

Ibunya juga dilihat mengalirkan air mata sebelum meninggalkan mahkamah.

Pada Rabu lalu, Izralizam menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun berhubung isu penganiayaan dan pengabaian Bella.

Ia selepas mahkamah mendapati wanita berusia 31 tahun itu gagal menunjukkan keadaan luar biasa bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Kesalahan dilakukan di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.